pengeluaran KWSP
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Dibandingkan dengan pembentangan manifesto gabungan parti-parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, manifesto Barisan Nasional (BN) adalah yang paling komprehensif dan mencakupi setiap aspek keperluan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, manifesto BN tidak menawarkan bulan dan bintang.

Manifesto BN juga tidak menjanjikan kehidupan alam kayangan.

”BN tidak mendondangkan manifesto palsu untuk akhirnya dimungkiri dengan pelbagai alasan. Tetapi BN menawarkan sesuatu yang telah terbukti mampu dilaksanakan.

”Semua ini kami yakinkan melalui rekod dan pencapaian pada zaman BN menjadi kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Jelas beliau, manifesto BN membentangkan konsep baru Assistive Basic Income bagi menampung pendapatan isi rumah di bawah RM2,208 sebulan sekalig us menghapuskan kemiskinan mutlak.

Selain itu menawarkan potongan cukai individu bagi M40 untuk memperkasakan kuasa beli rakyat, memperkenalkan Kumpulan Wang Pengekalan Kerja bagi memastikan jaminan pekerjaan dan membantu majikan mempertahankan sumber manusia syarikat.

Manifesto BN memperkenalkan manifesto khusus untuk wanita melalui tawaran Bank Ekonomi Wanita, hospital pakar wanita, universiti awam wanita, insentif bagi penyediaan waktu kerja anjal untuk ibu bekerja serta 0% cukai pendapatan selama lima tahun bagi wanita yang mahu bekerja semula.

”Kita berani menyediakan laptop percuma untuk B40 agar sistem persekolahan tanpa buku teks dapat dilaksanakan. Kita berikrar memastikan liputan 5G di semua sekolah selesai dalam tempoh 18 bulan. Pendidikan percuma di peringkat tinggi untuk B40, jaminan pendidikan awal kanak-kanak dan asuhan percuma turut kita sediakan.

”Malah, kami melawan arus dengan berjanji memastikan wujudnya keseimbangan semula antara pendidikan sains dan sastera. Di saat ada ahli politik berpandangan subjek sejarah, moral dan agama adalah beban, kami pula berpendirian bahawa kemajuan ekonomi mesti seiring dengan jati diri. Tiada guna ekonomi maju, tetapi identiti bangsa menjadi gadaian.

“Masih banyak yang belum saya tulis. Janji kepada Sabah dan Sarawak ( walaupun BN tidak bertanding di Sarawak), insentif kepada petani dan nelayan, pemeliharaan hak pekerja gig ekonomi, tawaran menyeluruh sistem kesihatan, keselamatan makanan, pemurnian sistem keadilan, pemerkasaan dasar luar dan perdagangan, bantuan kepada OKU, jaminan pekerjaan anak muda serta usahawan.

”Semua ini kami rangkumkan dalam satu manifesto yang insha-Allah cukup lengkap bagi kesejahteraan hidup rakyat,” ujar Asyraf.

Beliau yang menjadi calon Parlimen Gerik menambah, semua yang ditawarkan oleh BN sesuatu yang terbukti mampu dilaksanakan berdasarkan rekod dan pencapaian pada zaman komponen itu ketika menjadi kerajaan.

Asyraf berkata, BN sentiasa percaya kepada kebijaksanaan dan timbang tara rakyat.

”Kami tahu rakyat pasti boleh membezakan antara kaca dan permata. 22 bulan di bawah kerajaan PH amat merosakkan. 17 bulan di bawah kerajaan darurat PN pula amat melelahkan.

“Insya-Allah, BN akan memperbaikinya semula dengan kestabilan dan kemakmuran,” ujarnya. – MalaysiaGazette