Home Politik Maszlee tampil ala Rajinikanth untuk raih undi

Maszlee tampil ala Rajinikanth untuk raih undi

BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik menggunakan pelbagai bahasa bagi meraih sokongan pengundi menjelang hari mengundi pada 19 November ini.

Selain giat berkempen dilapangan berjumpa dengan masyarakat setempat, bekas menteri pendidikan itu turut berkempen melalui media sosial terutamanya di TikTok dengan cara ala pelakon popular daripada filem Tamil, Rajinikanth.

Video berdurasi 30 saat itu mula tular sejak kelmarin bertujuan untuk menarik pengundi di Simpang Renggam agar memberi sokongan kepada PH demi masa depan pendidikan anak-anak mereka.

“Pendidikan adalah senjata paling ampuh untuk mengubah nasib negara kita. Undilah Pakatan Harapan,” katanya dalam bahasa Tamil.

Beliau melakukan aksi berkenaan dengan gerakan tangan berpusing yang menjadi salah satu imej popular Rajinikanth.

Sementara itu, isteri beliau, Hamidah Mat turut membuat penampilan dalam video berkenaan sebagai tanda sokongan kepada suaminya itu.

Dalam video berkenaan, Hamidah turut bertutur dalam bahasa Tamil dengan menyebut ‘simbol stail adalah Rajini, simbol pendidikan adalah Maszlee’ dan disusuli denganĀ  rakaman aksi Rajinikanth.

Dalam video berkenaan, Maszlee berkata, walaupun dia bukan bos seperti Sivaji (salah satu filem Rajinikanth), dia tetap mahu pengundi keluar mengundi pada 19 November ini.

“Anda semua mempunyai satu peluang yang cukup besar untuk jadi orang yang paling berkuasa pada 19 November ini, lebih berkuasa daripada Sivaji The Boss.

“Undi Pakatan Harapan. Masa depan pendidikan negara di tangan anda,” katanya dalam kapsyen di akaun rasmi TikTok miliknya.

Sebelum ini, Maszlee turut memuat naik video berlainan di TikTok dan tampil berkempen menggunakan dialek Hakka untuk mengajak orang ramai pulang mengundi.

“Undi anda sangat penting untuk negara, satu pun tak boleh kurang,” katanya.

Ibu Maszlee yang berketurunan Cina turut muncul dalam video berkenaan dan menyuarakan saranan yang sama kepada pengundi.

Parlimen Simpang Renggam menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berdepan penyandang kerusi berkenaan Dr Maszlee Malik (PH), Mohd Fazrul Kamat (PN) dan Kamal Kusmin (GTA). – MalaysiaGazette