Penyokong, Nurul Jannah Renny Noor (kanan) bersama Saleha Mohamed Trawi menunjukkan risalah Manifesto Barisan Nasional Negeri Perak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di Padang Permainan Meru Jaya, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2022.

IPOH – Ikrar Barisan Nasional (BN) Perak Kestabilan Demi Kesejahteraan yang menjadi tema manifesto parti itu sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan golongan yang menerima manfaat terdiri daripada pelbagai lapisan dari bayi hingga ke warga emas.

Di bawah Fokus Pendidikan Rakyat, BN menawarkan pemberian RM1,000 secara ‘one-off’ kepada mahasiswa Perak yang sedang mengambil ijazah sarjana muda.

Sementara pembayaran RM500 secara one-off kepada mahasiswa yang sedang mengambil diploma.

BN Perak juga menyediakan peruntukan RM7.5 juta bagi anak Perak yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri untuk melanjutkan pembelajaran sehingga ke peringkat PhD.

Program Bantuan Mahasiswa Sejahtera bagi mahasiswa Perak dari keluarga kurang berkemampuan yang belajar di IPT di negeri itu juga akan diperkenalkan jika BN menang PRU15.

Tawaran itu dibuat dalam Fokus Kedua senarai utama manifesto yang dilancarkan oleh Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Anak negeri itu juga akan menikmati akses kepada tuisyen percuma di setiap Dewan Undangan Negeri yang akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri. Inisiatif tersebut dibuat atas semangat Tuisyen Cikgu Saarani.

Pemerkasaan sistem pendidikan awal dan pengenalan Perkhidmatan Asuhan Nasional percuma kepada kanak-kanak bawah enam tahun.

Manifeso itu itu juga memberi tumpuan terhadap sekuriti makanan dengan sasaran menjadikan Perak sebagai Hab Daging Halal Antarabangsa selain menubuhkan Akademi Sekuriti Makanan.

Inisiatif termasuk mewujudkan Agro Penjara di Pusat Koreksional Kamunting bernilai RM10 juta.

Fokus ketiga melibatkan perumahan rakyat dengan sasaran mewujudkan 50,000 rumah pada harga patut untuk rakyat Perak dalam masa lima tahun.

BN juga akan memperbanyakkan rumah-rumah transit, rumah sewa kerajaan dan memperluaskan perumahan sewa dan beli kepada golongan yang memerlukan.

Fokus keempat melibatkan kesihatan rakyat antara lain menambah dana perubatan warga emas, menaiktaraf dan menambah jumlah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan memperluaskan insurans kesihatan bagi warga emas.-MalaysiaGazette