Rafizi Ramli

PETALING JAYA – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menempelak jawapan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung dakwaanya terhadap kelulusan tender projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion baru-baru ini.

Rafizi berkata, gaya bahasa jawapan yang diberikan oleh Tuan Ibrahim adalah nada sama yang diberikan oleh beberapa pemimpin UMNO mengenai skandal-skandal yang didedahkan beliau sebelum ini.

“Apabila Tuan Ibrahim kata saya cabar buat laporan SPRM saya sedih sebab itu jawapan UMNO dulu. Semasa Pas bersama-sama kita (Pakatan Rakyat), masa saya dedah skandal NFC, 1MDB.

“Kalau UMNO kata sila buat laporan SPRM pimpinan Pas yang bising sekali melalak, sekarang ini bila kena dekat mereka, dia bagi jawapan sama macam UMNO pernah bagi dahulu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Rafizi berkata demikian mengulas kenyataan Tuan Ibrahim bahawa mencabar beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tuan Ibrahim berkata, Rafizi licik “berselindung” ketika melemparkan tuduhan dengan memetik sumber dalaman, selain sering menyebut “saya difahamkan” dan “saya dimaklumkan” demi melindunginya dirinya daripada dikenakan tindakan perundangan.

Beliau yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Pahang menggesa sekiranya Rafizi memiliki bukti agar membuat laporan ke SPRM.

Menjawab pertanyaan media mengenai laporan kepada SPRM, Rafizi berkata, perkara itu tidak perlu kerana pelbagai laporan yang dibuat beliau sebelum ini tidak diendahkan.

“Tidak perlu sebab sebelum ini tidak ada tindakan. Saya telah lama 10 tahun dedahkan skandal.

“Macam-macam laporan polis dan SPRM telah dibuat, pengalaman saya hampir semua skandal dihentikan bukan berpunca daripada laporan polis dan SPRM,” katanya  lagi.

Isnin lalu, media melaporkan Rafizi menggesa Tuan Ibrahim tampil memberi penjelasan berhubung status kelulusan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.

Rafizi mendakwa, kementerian berkenaan dalam proses untuk menganugerahkan projek secara rundingan terus itu kepada kontraktor dilantik.

Rafizi juga sebelum ini mendakwa Tuan Ibrahim menganugerahkan satu tender bernilai RM578.6 juta untuk kerja-kerja menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal secara tender terhad kepada syarikat kontraktor sama. – MalaysiaGazette