GEORGE TOWN – “Kami sedang ulang kaji pelajaran memandangkan esok ada peperiksaan namun dikejutkan dengan bunyi dentuman sebelum lihat beberapa rakan terperangkap dalam runtuhan,”.
Demikian cerita Nurul Hawa Abdullah, 13, saksi kejadian runtuhan bumbung asrama Wisma Yatim Perempuan (Islam) Pulau Pinang di Jalan Scotland di sini, malam tadi.
Mengimbau detik hitam itu, Nurul Hawa berkata, mereka segera menyelamatkan rakan yang terperangkap dengan bantuan warden sebelum kehadiran pihak luar.
“Keadaan mangsa yang paling teruk adalah mangsa berusia 13 tu yang mana dia boleh dikatakan tertimbus sepenuhnya dalam runtuhan itu.
“Tiada apa yang diungkap ketika itu selain cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap sebelum masing-masing turun ke bawah untuk menyelamatkan diri sendiri pula.
“Memang terkejut dan tak akan lupa apa yang jadi hari ini, kerana silap langkah mungkin kami turut menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, warden asrama, Noor Niah Abu Bakar berkata, ketika kejadian, dia sedang solat sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat.
“Saya berlari untuk mengetahui apa yang berlaku sebelum mendapati bumbung siling bahagian asrama runtuh.
“Dengan bantuan remaja-remaja yang terselamat serta seorangagi warden kami keluarkan tiga penghuni yang teperangkap sebelum dibawa ke hospital.
“Ini merupakan kali pertama kejadian sebegini berlaku dan syukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” jelas beliau.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, toga penghuni Wisma Yatim Perempuan (Islam) Pulau Pinang di Jalan Scotland di sini, yang cedera dalam kejadian runtuhan bumbung asrama kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Bagaimanapun, mangsa, Nur Jannah Motaleb, 8; Nur Batrisya Mohd Raffei, 10; dan Siti Syahirah Zulkipli, 13 tahun yang mengalami kecederaan pada belakang badan dan kepala itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. – MalaysiaGazette