Presiden PAS yang juga calon PAS P.037 Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersalaman dengan Pengerusi Perikatan Nasional Pahang yang juga Perikatan Nasional P.082 Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Ceramah Umum dan Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional Pahang sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Jerantut, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2022.

JERANTUT – Perikatan Nasional (PN) Pahang menolak usaha sesetengah pihak memujuk pengundi supaya kerusi-kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Temerloh perlu dibahagi-bahagi dengan gabungan parti lain.

Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya menolak naratif itu dan mahu pengundi memilih calon PN baik Parlimen dan kawasan DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Ada gerakan di Temerloh suruh undi calon A bagi Parlimen dan jangan undi calon B bagi DUN atau undi calon B bagi Parlimen dan jangan undi A bagi DUN.

“Kita tidak mahu, kita mahu semua kerusi undi calon PN dan kita menang 4-0,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Pelancaran Manifesto PN Pahang oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sini malam tadi.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Temerloh dimenangi Amanah dan DUN Mentakab oleh PKR namun DUN Lanchang dan DUN Kuala Semantan dimenangi BN.

Saifuddin seterusnya berkata, kesemua calon melibatkan 14 Parlimen dan 42 DUN telah mengangkat sumpah tak terlibat dalam rasuah.

Presiden PAS yang juga calon PAS P.037 Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima borang keahlian daripada bekas Penyelaras Gerakan tanah Air (GTA) Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Rofaei Mohd Hamdan (dua kanan) pada Program Santai Temu Rakyat sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Esplanade Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2022.

Terdahulu  di Temerloh petang semalam, Abdul Hadi menerima borang keahlian kira-kira 20 ahli Parti Pejuang Temerloh yang diketuai Datuk Mohd Rofaie Mohd Hamdan.

Mohd Rofaie bertindak sedemikian selepas kecewa dengan pembahagian kerusi Gerakan Tanah Air yang didakwa memingirkan ahli Pejuang Termerloh. – MalaysiaGazette