BATU PAHAT – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengenakan semula permainan persepsi yang dikenakan terhadap Barisan Nasional (BN) bahawa ‘satu undi Khairy, satu undi Zahid’.
Katanya, pengundi-pengundi diingatkan supaya tidak masuk dalam perangkap Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan calon Melayu di Ayer Hitam tetapi dibelakangnya DAP.
”Ini bermakna satu undi untuk PH adalah satu undi untuk DAP.
“Jadi saya harap anda jangan terperangkap dengan permainan mereka ini. Ini semua mainan mereka.
”Jadi untuk menyekat kemaraan DAP kita mesti kalahkan calon PH di mana saja kita berada,” kata Ismail Sabri pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Parlimen Ayer Hitam di Taman Suria di sini, hari ini.
PH meletakkan Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Sheikh Omar Bagharib Ali untuk berdepan penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Ismail mendakwa semasa PH memerintah, walaupun Perdana Menteri adalah Tun Dr Mahathir Mohamad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun DAP yang berkuasa.
Mengulas strategi seteru BN tentang ‘satu undi untuk Zahid’, beliau yang juga Naib Presiden UMNO menyifatkan ia cuma persepsi mainan pembangkang.
Dalam ucapannya pada majlis sama, Ismail Sabri berkata, Ka Siong akan diberi tempat dalam Kabinet jika rakyat mengekalkannya sebagai Perdana Menteri.
“Kita akan buktikan kesetiaan kita pada kawan-kawan. Kalau MCA dan MIC boleh setia walaupun parti lain lari dari BN, dalam UMNO pun ada lari, lompat tetapi MCA kekal.
“Kita sebagai orang Melayu kekal budaya kita. Inilah waktunya kita membalas budi MCA dengan memberi laluan kepada calon MCA, Datuk Wee Ka Siong,” ujarnya.-MalaysiaGazette