Tok Batin, Baharuddin Bakar.

PUCHONG – Sebanyak lebih kurang 15 keluarga Orang Asli Suku Temuan di Kampung Sungai Rasau Hilir Batu 14 yang sehingga kini masih belum mendapat rumah.

Sehubungan Tok Batin Baharuddin Bakar berharap agar wakil rakyat yang akan menjadi Ahli Parlimen Puchong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dapat berusaha menyediakan penempatan buat keluarga berkenaan.

Malah, beliau mahu wakil rakyat Puchong prihatin terhadap beberapa isu lain di penempatan Orang Asli di Parlimen ini termasuklah rumah yang bocor dan perlu dibaiki, masalah perparitan dan jalan yang tidak diturap.

“Masalah-masalah ini sehingga kini masih kami hadapi, jadi apa yang kami harapkan adalah apa yang saya suarakan ini nanti diselesaikan oleh wakil rakyat baharu.

“Ada yang masih tinggal di pondok sebab ibu bapa mereka sudah dapat rumah tapi kapasiti rumah tidak cukup jadi anak-anak yang bekeluarga masih tinggal di pondok,” katanya kepada pemberita.

Syed Ibrahim Kader memberi risalah kempen kepada penduduk orang asli semasa mengadakan walkabout rumah ke rumah sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Sungai Rasau Hilir Puchong, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 NOVEMBER 2022.

Kampung Sungai Rasau Hilir Batu 14 dan Taman Orang Asli Saujana Puchong  merupakan penempatan Orang Asli di kawasan berkenaan.

Tok Batin itu berkata, seramai lebih 400 masyarakat Orang Asli yang tinggal di  Kampung Sungai Rasau Hilir Batu 14.

Dalam masa yang sama, Baharuddin yang juga dikenali sebagai Tok Bah berharap kumpulan berkenaan tidak akan dipinggirkan oleh ahli Parlimen kawasan itu pada masa akan datang.

“Apa yang kami minta adalah kalau menang turunlah kawasan, tengoklah kami dan bertanya khabar Orang Asli di sini,” tambah beliau.

Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN) Puchong Datuk Seri Syed Ibrahim Kader menziarah dan beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli di dua perkampungan berkenaan.

Ketika ditemui, Syed Ibrahim berkata, beliau memerlukan maklumat lanjut berkenaan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

Justeru beliau akan mengadakan pertemuan dengan masyarakat berkenaan dengan lebih kerap dalam masa yang terdekat untuk mendengar luahan mereka sekaligus dapat mencari jalan penyelesaian sekiranya dipilih menjadi ahli Parlimen kawasan itu.

“Selain ziarah hari ini, saya akan bertemu mereka lagi malam ini, saya mahu dengar lebih banyak tentang masalah yang mereka hadapi di sini,” tambahnya.

Untuk rekod, Parlimen Puchong merupakan kubu kuat DAP yang ditandingi Gobind Singh Deo sejak tiga penggal yang lalu pada 2008.- MalaysiaGazette