Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 4 akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima secara berperingkat bermula 15 November 2022 (Selasa) dan dijangka selesai pada 18 November 2022 (Jumaat).

Perdana Menteri berkata, keputusan mempercepatkan bayaran daripada Disember 2022 kepada November 2022 bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada pertengahan bulan November 2022

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pembayaran yang bernilai RM2.1 bilion ini akan memanfaatkan seramai 5.2 juta penerima yang terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah dan warga emas bujang/tiada pasangan.

Secara keseluruhannya, RM8 bilion telah diperuntukkan untuk BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi tahun 2022.

”Untuk BKM Fasa 4, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing. Pembayaran ini merupakan bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November 2022. – MalaysiaGazette