Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Khairy Jamaluddin yang meminta untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Katanya, tidak siapa memaksa atau mendesak Menteri Kesihatan itu bertanding di kawasan berkenaan.

“KJ yang minta diberikan peluang bertanding di sana dan saya tunaikan permintaannya,” lapor Berita Harian ketika ditemui media selepas melawat Bilik Gerakan Pilihan Raya Titiwangsa malam tadi.

Presiden UMNO itu berkata demikian ketika ditanya keputusan BN meletakkan Khairy di kawasan yang bukan kubu kuat gabungan itu.

Khairy yang juga penyandang kerusi Parlimen Rembau dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dicalonkan di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu bertukar kawasan bagi memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di Parlimen Rembau.

Artikel berkaitan: Sungai Buloh, kawasan selamat untuk Khairy – Mohamad

Ditanya mengenai cita-cita Khairy untuk menjadi Perdana Menteri pada masa depan, Ahmad Zahid berkata, terlalu awal untuk beliau mengulas perkara itu.

“Perkara itu bergantung kepada keputusan pilihan raya akan datang bukan pilihan raya kali ini,” katanya.

Sementara itu, ketika melawat Bilik Gerakan BN di Wangsa Maju, Ahmad Zahid menangkis dakwaan pembangkang yang menyatakan BN tidak ada duit untuk berkempen.

Katanya, diakui BN tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak tetapi akan terus berkempen.

“Saya tengok sebaik melangkah ke sempadan Wangsa Maju ini tetap banyak berkibar bendera BN, walaupun penuh kepayahan kita akan terus berkempen dengan kemampuan yang ada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast