Foto hiasan

Saudara Pengarang,

Mengapa menjelang setiap pilihan raya umum, pemimpin tertinggi Barisan Nasional rata-rata akan bertanding di kerusi luar bandar atau separa luar bandar manakala pemimpin tertinggi Pakatan Harapan, di bandar?

Persepsi ini begitu menebal sehingga apabila Khairy Jamaluddin diletakkan di kerusi Sungai Buloh, sebuah kerusi bandar, pada pilihan raya umum akan datang, ada yang berpendapat bahawa Menteri Kesihatan dihantar ke sana untuk dikorbankan karier politiknya.

Trend ini sudah berlarutan sejak sekian lama lagi dan ini bukan perkara baharu. Di dalam PRU kali ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mempertahankan kerusi Bagan Datuk, PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bera, presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong di Ayer Hitam dan presiden MIC Tan Sri A. Vigneswaran di Sungai Siput. Ini semua adalah kerusi bukan bandar.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Tambun, yang terletak bersebelahan bandar raya Ipoh, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (Seremban) dan Presiden Amanah Mohamed Sabu (Kota Raja, berdekatan dengan Shah Alam dan Klang).

Sebab itu, saya kagum dengan keberaniannya Khairy yang berpindah dari kerusi luar bandar Rembau yang mana dia menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal, ke Sungai Buloh, yang terletak di pinggiran Kuala Lumpur.

Tetapi apakah pentingnya di kawasan mana pemimpin atasan politik bertanding? Ia penting kerana ia membawa kesan langsung ke atas dasar kerajaan dan kecenderungan politik yang boleh memberi impak besar kepada masa depan negara kita.

Jika sebahagian besar pemimpin tertinggi sesebuah blok politik hanya mewakili kerusi di luar bandar, mereka tentu akan cenderung mengutamakan pengundi di sana dan akan sedikit sebanyak mengabaikan sentimen masyarakat bandar.

Sebagai contoh, mereka mungkin memberi lebih fokus kepada pembangunan infrastruktur luar bandar tetapi mengambil ringan atas isu-isu seperti kebebasan kehakiman yang lebih diutamakan oleh pengundi bandar.

Begitu juga, pimpinan tertinggi dari gabungan politik yang banyak bergantung kepada pengundi bandar mungkin tidak dapat menghayati sentimen penduduk di pedalaman, yang lebih mengutamakan isu kelangsungan hidup, bukan isu kebebasan media atau geopolitik.

Ini semua adalah realpolitik dan berkait rapat dengan kelangsungan politik. Ini tidak dapat dinafikan.

Tetapi apabila dua buah blok politik berlawanan bergantung kepada sokongan berasaskan demografi geografi yang amat berbeza, maka negara akan menjadi lebih berpecah dan terpolarisasi.

Ini menjadi lebih teruk memandangkan kebanyakan pengundi luar bandar dari kaum Melayu, manakala di bandar, rata-ratanya bukan Melayu.

Sudah sampai masanya pemimpin politik atasan keluar dari zon selesa mereka. Sebagai permulaan, BN boleh mula meletakkan lebih ramai pemimpin peringkat pertengahan di kerusi bandar manakala PH melakukan perkara yang sama di luar bandar di masa hadapan. Mereka boleh bermula seawal tahun depan apabila beberapa pilihan raya negeri akan berlangsung.

Saya berharap satu hari nanti, saya akan melihat Presiden UMNO menang di kerusi seperti Bukit Bintang dan Cheras manakala Setiausaha Agung DAP menang di kawasan seperti Gerik atau Pengkalan Chepa.

Kita memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Khairy Jamaluddin yang mempunyai keberanian untuk mengambil risiko politik. Tetapi pengundi juga harus memainkan peranan mereka dengan menyokong pemimpin yang berani melawan arus politik perdana demi masa depan negara.

Inilah cara kita kecapi pembangunan yang lebih holistik dan meredakan suhu politik yang telah lama mengheret negara ini.

Zulkifli Mohd Salleh
Shah Alam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast