PETALING – Dengan berbaki lapan hari ini berkempen sebelum kira-kira 21 juta pengundi akan memangkah pada 19 November ini untuk memilih kerajaan baharu, isu peningkatan pengundi secara mendadak di negeri Sabah berbanding 2018 kini mencetuskan persoalan.
Lantaran itu, Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membuat satu laporan polis bagi mendesak Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan segera mengenai dakwaan itu.
Presiden G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, beberapa pemimpin politik di Sabah telah mempertikaikan tentang peningkatan mendadak pengundi negeri tersebut.
“Peningkatan yang dimaksudkan lebih setengah juta itu sekarang menjadi kerisauan orang di Sabah lebih-lebih lagi menjelang PRU15 kali ini.
“Sebab Ketua Menteri Sabah pun dalam perkara ini telah menyatakan rasa terkilan dan menyuarakan pandangannya meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) segera melakukan siasatan dalam soal ini tetapi tiada jawapan.
“Rakyat di Sabah juga mula risau kerana ada tuduhan yang mengatakan kononnya warga asing dari Filipina diberikan kad pengenalan Malaysia menjelang PRU15 kali ini,” katanya kepada pemberita di depan Balai Polis Sri Petaling tadi.
Tambah beliau, semua pihak khususnya rakyat di Sabah berhak untuk mengetahui sejauh mana kesahihan dakwaan itu dan seandainya benar polis perlu bertindak pantas dan tuntas bagi mengelak penipuan pada hari mengundi nanti.
Katanya, adalah mustahil pengundi berusia 18 tahun yang akan mengundi pertama kali meningkat mendadak setengah juta orang.
“Ini angka yang diperoleh dari orang Sabah setakat bulan Januari 2022 dan berdasarkan data yang dikumpul itu peningkatan lebih 50 peratus berlaku dalam jumlah pengundi berdaftar di negeri Sabah kali ini,” ujarnya.
Zulkarnain mendakwa disebabkan isu ini ada parti-parti politik di Sabah akan buat sekatan di pusat-pusat daerah mengundi pada hari mengundi 19 November ini.
Jika ia terjadi, proses kelancaran semakan pengundi serta memangkah oleh pengundi akan terganggu dan kekacauan akan berlaku.ni.
“Kita nak polis siasat bagaimana dan kenapa angkat itu boleh meningkat begitu mendadak sewaktu PRU kali ini serta benar atau tidak dakwaan wujud pemberian MyKad kepadawarga Filipina untuk PRU15 kali ini,” katanya.
Ujar beliau, data kenaikan pengundi Sabah paling tinggi di Keningau dan Sepanggar walaupun saiz kawasan tak besar.
“Tapi jumlah pengundi naik 34,000 ini sehingga Januari lalu, tapi terkini naik ketara lagi,” tambahnya.- MalaysiaGazette