Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) P.146 Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media khas bagi menyatakan deklarasi aset calon sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pejabat MUDA Muar Sungai Balang, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 10 NOVEMBER 2022.

MUAR – Calon Parti Ikatan Demokratik (MUDA) di Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengisytiharkan aset bersihnya berjumlah RM1.9 juta, malam ini.

Presiden MUDA itu memaklumkan, pengisytiharan harta setakat 30 September lalu itu dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Katanya, kebanyakan aset itu diperoleh sebelum dan selepas menyertai politik serta sepanjang menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Syed Saddiq merupakan antara beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mengisytiharkan harta pada PRU kali ini.

Pengisytiharan harta oleh calon-calon PH yang bertanding dibuat bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.

Langkah itu juga dikatakan akan menimbulkan keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya dan institusi yang mereka berkhidmat sekiranya calon itu mula memegang jawatan. – MalaysiaGazette