Gambar Hiasan. Foto HAZROL ZAINAL, 29 MAC 2021.

JOHOR BAHRU – Rasa marah penduduk di Pasir Gudang gara-gara gangguan bekalan air selama enam hari secara berterusan surut selepas kerajaan negeri memberikan rebat sebanyak 12 peratus kepada penghuni kediaman yang terlibat.

Pemberian rebat itu melibatkan 49,280 pemilik akaun.

Peniaga, Azizan Inche Harun, 40 berkata, gangguan bekalan air sepanjang tempoh itu  menyebabkan perniagaan makanan yang diusahakannya terjejas.

Azizan Inche Harun

Sepanjang tempoh itu, dia terpaksa menutup kedai lebih awal daripada kebiasaannya.

Bagaimanapun, wanita ini bersyukur apabila kerajaan negeri akan memberi rebat, sekali gus menunjukkan keprihatinan kepada penduduk.

Katanya, pada bulan lalu sebanyak dua kali Pasir Gudang mengalami gangguan bekalan air.

“Alhamdulillah bagi kami rebat tetapi pada masa sama kenalah cari jalan keluar menangani masalah gangguan air ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Perniagaan Saujana hari ini

Sutarno Mohd Kasim

Seorang penduduk, Sutarno Mohd Kasim Ho, 44, pula menyifatkan keputusan pemberian rebat ini kena pada masanya.

Pengusaha mikro ini berkata, apabila berlaku masalah air, perniagaannya terjejas.

Oleh itu, pemberian rebat ini memberi kelegaan pengguna-pengguna terlibat.

“Bolehlah…kerana kurangkan beban kami. Sekurang-kurangnya satu ikhtiar daripada kerajaan negeri.

Nadiah Naping

Sementara itu, suri rumah Nadiah Naping, 38, menaruh harapan gangguan air ini tidak berulang lagi pada masa akan datang kerana menyukarkan penduduk.

Menurutnya, aktiviti hariannya tidak berjalan lancar apabila gangguan air berlaku.

Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi rebat kepada penduduk.

“Memang bagus, dapatlah kurangkan bebanan. Pemberian rebat ini dapatlah membantu penduduk,” ujarnya.

Semalam Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan memberi rebat 12 peratus itu dibuat hasil perbincangan kerajaan negeri dengan syarikat pembekal air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd.

Beliau berkata, pemberian rebat itu termasuk pengguna domestik, domestik pukal, institusi keagamaan dan kebajikan.

Pada 28 Oktober lalu, lebih 50 kawasan di Pasir Gudang mengalami masalah bekalan air akibat paip bocor di Persiaran Seri Alam ketika kerja-kerja teknikal dijalankan.

Bagaimanapun, kerja-kerja pembaikan itu pulih sepenuhnya pada 4 November lalu. – MalaysiaGazette