KUALA SELANGOR – Kehadiran Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke kawasan di sini bukan sahaja ketika musim pilihan raya bahkan sejak enam bulan lepas dan masih mendapat sambutan baik daripada masyarakat luar bandar.
Tengku Zafrul mengakui setakat enam hari berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kehadirannya tidak pernah dihalang mahupun mendapat bantahan daripada mana-mana pihak.
“Setakat ini, sambutannya agak bagus, tidak ada yang marah-marah, penduduk Kuala Selangor semuanya begitu ramah, mesra dan baik-baik orangnya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kuala Selangor yang setakat ini boleh menerima bila saya berjumpa mereka dalam program-program yang dijemput setakat ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Ditanya jika beliau memenangi dan terpilih sebagai ahli Parlimen Kuala Selangor, Tengku Zafrul bagaimanapun komited untuk menyelesaikan 50 isu asas yang masih berbangkit ketika ini.
“Kalau saya dipilih sebagai wakil rakyat untuk kerusi P096 Kuala Selangor, fokus saya adalah untuk kebajikan rakyat.
“Saya telah menyenaraikan 50 isu yang akan dibuat secepat mungkin berdasarkan sesi turun padang ke lapangan bersama penduduk Kuala Selangor,” katanya.
Beliau tidak menafikan masalah kesesakan antara keutamaannya untuk diselesaikan termasuk menaik taraf infrastruktur sedia ada.
“Isu kesesakan ini memang (wujud) dan ia menunjukkan Kuala Selangor ini pembangunan khususnya pelancongan ada potensi kerana ramai yang datang ke sini untuk tujuan pelancongan.
“Saya pergi ke Pantai Remis baru-baru ini pun penuh, Sabtu malam Ahad di Dataran Melawati pun penuh dan di sini juga ramai orang yang berhenti untuk pergi ke Perak.
“Salah satu fokus untuk jangka masa sederhana dan panjang ialah menaiktaraf infrastruktur sedia ada di sini, terutamanya internet, banyak kawasan yang tiada internet di Kuala Selangor, malah ada kes tiada signal (isyarat) telefon,” katanya.
Katanya lagi, isu harian antara manifesto utama Menteri Kewangan itu yang perlu diperjuangkan tanpa perlu menawarkan sesuatu perkara yang tidak realistik.
“Ada banyak isu berbangkit di Kuala Selangor, kebanyakan adalah isu harian, isu jalan yang berlubang, isu lampu trafik yang tidak berfungsi, semua isu itu boleh diperbaiki.
“Bagi Puncak Alam pula, masyarakat di sana memerlukan Klinik Kesihatan memandangkan ramai penduduk di situ.
“Golongan muda pula bangkitkan isu kemudahan awam, padang yang mungkin ditambah baik jadi padang bola dan sebagainya. Isu harian yang saya percaya boleh diselesaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette