KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pendang, Datuk Suraya Yaacob membidaskan tindakan segelintir pihak yang cuba memainkan sentimen beliau bukan anak tempatan.
Bagaimanapun bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah itu menegaskan, apa gunanya menjadi anak jati Pendang namun hanya muncul menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).
“Ada suara sumbang cuba bermain sentimen kononnya Kak Su orang luar, bukan asal Pendang”.
“Namun apa gunanya jika nama sahaja anak jati Pendang, tetapi menjelang pilihanraya baru nampak muka, kan? Kita sabar sahajalah.
“Kita tidak boleh menentukan tempat lahir kita. Itu ketentuan Allah,” tulisnya di Facebook miliknya di sini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang selama empat penggal berturut-turut itu dipilih bertanding di kerusi Parlimen Pendang pada PRU15.
Walaupun ini adalah pengalaman pertama bertanding di peringkat Parlimen namun ia bukan masalah besar buat diri Suraya yang mesra dipanggil Kak Su untuk menukar warna biru di kawasan itu yang terkenal dengan warna hijau milik Pas.
Suraya akan berdepan dengan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim daripada Perikatan Nasional.
Beliau dan dan Awang yang juga penyandang parlimen itu bakal menghadapi pertandingan empat penjuru dengan dua lagi calon iaitu Zulkifly Mohamad (PH) dan Abdul Rashid Yob (Pejuang)
Pada PRU15, terdapat kira-kira 20,000 orang pengundi muda yang berdaftar secara automatik di Parlimen Pendang daripada jumlah keseluruhan 74,867 pengundi.
Suraya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Pendang sebelum ini melepaskan jawatannya sebagai Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri pada 13 Oktober lalu. – MalaysiaGazette
















