TELUK KUMBAR – Ketua Penerangan Perikatan (PN) Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa mustahil untuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk sebuah kerjaaan bersih selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Ia susulan kedua-dua parti itu didakwa mengetengahkan calon yang berdepan kes mahkamah untuk bertanding pada PRU15.

Tegas calon PN bagi Parlimen Gombak itu, sepatutnya BN dan PH memberi laluan kepada tokoh-tokoh baharu berentap pada pilihan raya ini sementara menunggu perbicaraan kes di mahkamah melibatkan mereka selesai.

“Ini bukan tuduhan palsu, beberapa nama besar dalam kalangan PH sedang berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah.

“Ini tidak berikan satu gambaran yang baik dan positif kerana mereka (PH/ BN) menggambarkan mereka akan membentuk kerajaan yang bersih, stabil serta tidak rasuah. Bagaimana mungkin ini berlaku kalau calon mereka sendiri sedang berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai berucap pada ceramah rakyat berhubung isu tambak laut di Sungai Batu di sini, hari ini.

Hadir sama, calon PN Parlimen Balik Pulau, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid.

Mengulas lanjut Azmin berkata, beliau menyerahkan keputusan kepada rakyat untuk menghukum PH dan BN yang tidak jujur menyampaikan manifesto mereka.

“Saya percaya rakyat hari ini cukup matang, pengundi Pulau Pinang pun matang dan dapat menilai siapakah gabungan benar-benar ikhlas dan mampu membentuk kerajaan kuat yang stabil, prihatin, bersih iaitu PN,” jelasnya.

Sementara itu, ketika berucap pada ceramah tersebut, Azmin menyatakan pendirian PN akan menolak projek tambakan laut di negeri ini sekiranya diberikan mandat bentuk Kerajaan Persekutuan.

“Kita tidak tolak pembangunan tetapi tolak pembangunan yang tidak menjamin kelestarian alam sekitar.

“Ayuh kita (rakyat) musnahkan harapan DAP yang tidak fikir masa depan rakyat di sini. Saya bukan marah tapi geram tapi pemimpin PH yang menikus depan DAP.

“Jadi jagalah Pulau Pinanh ini elok-elok untuk kita bina kerajaan stabil yang prihatin,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.