MELAKA – “Waktu jadi ketua pengawas di sekolah dahulu, Lim (Datuk Lim Ban Hong) tidak pernah bezakan kaum untuk ‘tangkap’ pelajar yang melakukan kesalahan.
“Malah saya lihat, sampai ke hari ini dia berpegang teguh pada prinsip kepimpinannya itu membuatkan dia sememangnya layak menjadi wakil rakyat berbilang kaum di negara ini,” kata Md Shariff A Bakar, 78.
Beliau adalah bekas Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek (STHAM) di Cheng di sini yang bertanggungjawab memilih Ban Hong sebagai ketua pengawas sekolah berkenaan sekitar tahun 1995.
Beliau kini adalah Pengerusi MCA Melaka yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Mengimbau kembali sifat kepimpinan Ban Hong, Md Shariff berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang itu sememangnya sudah menunjukkan kemampuannya menjadi ketua sejak di bangku sekolah lagi.
“Saya masih ingat, bagaimana kami majoriti guru Melayu ketika itu sebulat suara memilih beliau sebagai ketua pengawas sedangkan terdapat lima atau enam calon Melayu lain yang tidak kurang hebatnya.
“Namun, dalam kalangan mereka, Lim (Ban Hong) adalah calon paling berkaliber terutamanya dengan sikap lemah lembut dalam pertuturan namun mempunyai ketegasan yang dapat diikuti semua pelajar lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Ban Hong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di rumahnya di Cheng sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shariff yang sudah pencen sebagai guru sejak 23 tahun lalu berkata, beliau akan terus membantu kempen Ban Hong bagi memastikan kemenangan di kerusi tradisi BN itu.
“Malah, saya teruja apabila dijemput sebagai ceramah kempennya di sini malam esok yang mana saya yakin, ramai dalam kalangan 62 peratus pengundi Melayu dalam Parlimen Tangga Batu akan memberi undi kepadanya.
“Ini kerana beliau bukanlah orang luar yang asing dari kami malah bersekolah dan membesar di sini serta dikenali ramai penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Ban Hong berkata, beliau amat menghargai peranan semua guru dalam institusi masyarakat bagi melahirkan individu berguna pada masa hadapan.
“Bagi saya, keperibadian baik seseorang itu antaranya adalah hasil didikan para guru di peringkat bangku sekolah.
“Sebab itu, setinggi mana pun kejayaan yang dikecapi, kita jangan pernah sesekali melupakan jasa guru,” katanya.
Pada PRU15, Parlimen Tangga Batu bakal menyaksikan saingan lima penjuru antara Ban Hong, calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi berkenaan Rusnah Aluai, calon Perikatan Nasional (PN) Bakri Jamaluddin mewakili Pas.
Dua calon lain adalah Gerakan Tanah Air (GTA) mewakili Pejuang, Ghazali Abu dan seorang calon Bebas, Mohammad Shahril Mahmood di kerusi yang mempunyai 115,998 pengundi itu. – MalaysiaGazette.

















Ahli parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai dari PKR tu tak tau orang mana…tiba2 jaa muncul. Lepas menang hilang terus,….sekarang muncul balik? Bukan orang Tangga Batu pun…kami pengundi Tangga Batu tetap akan mengundi Datuk Lim Ban Hong..mana2 majlis orang Melayu dia sentiasa ada…kahwin kaa..kematian kaaa…setiasa ada tak kira bangsa dan agama…