mohamad hasan india bn
Mohamad Hasan beramah mesra dengan orang ramai di Taman Seri Permata, Seremban, malam tadi.

SEREMBAN – Peningkatan sokongan kaum India akan membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terutamanya di kerusi-kerusi marginal.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perubahan sikap pengundi India itu dapat dilihat pada beberapa pilihan raya kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor.

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau memberitahu, PRN Melaka menyaksikan sokongan pengundi India meningkat 28 peratus dan pola itu diteruskan pada PRN Johor.

“Pada PRU-15 sokongan kaum India akan menjadi dukungan utama terutamanya di kerusi-kerusi yang marginal.

“Sokongan daripada kaum India amat kita alu-alukan, saya yakin ia akan dapat diterjemahkan kali ini,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama rakyat di Taman Seri Permata di sini, malam tadi.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, inisiatif menangani kos sara hidup diberi keutamaan dalam manifesto BN untuk PRU15.

Beliau menambah, kerajaan yang bakal dibentuk selepas PRU15 tidak boleh membiarkan rakyat dalam hidup dalam kesusahan.

“Bila bercakap soal kemiskinan, ia dekat di hati saya. Saya tidak mahu anak yatim dan susah mengalami apa yang pernah saya lalui,” jelasnya.

Mohamad berkata, usaha tersebut pernah dilaksanakan semasa beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dahulu melalui Dasar Jaringan Keselamatan Sosial.

Selain itu, menurut beliau, keutamaan turut diberikan terhadap aspek perumahan golongan B40 dan pendidikan. – MalaysiaGazette