Khairy Jamaluddin. Foto MUHD NA’IM, 11 NOVEMBER 2022.

CYBERJAYA – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buluh, Khairy Jamaluddin berkata, tidak salah bercita-cita menjadi Perdana Menteri (PM) negara ini satu hari nanti.

Menteri Kesihatan itu menjelaskan, bayangan yang diberikan untuk memegang jawatan bagi menunjukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak ketandusan pemimpin.

“Saya cuma memberi bayangan untuk berkhidmat demi negara dan rakyat. Jika diberi peluang saya juga ingin mengemudi kerajaan kita.

“Kita hendak tunjuk UMNO dan BN tidak ketandusan pemimpin yang boleh menerajui kerajaan suatu hari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya, di sini pagi ini.
Beliau diminta mengulas mengenai impiannya yang mahu menjadi Perdana Menteri sehingga dilihat sebagai seorang bercita-cita tinggi.
Dalam kempen baru-baru ini,  Khairy secara terbuka memberitahu mahu memimpin UMNO suatu hari nanti dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.
Pada sidang media sama, Khairy yang ditanya mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, langkah itu wajar dan beliau juga telah membuat perkara sama selepas dilantik menteri Kabinet sebelum ini.

“Saya sebut dari awal yang mana isytihar harta penting. Saya tidak ada masalah isytihar harta. Ini amalan kita dari dulu. Saya sudah buat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka juga sudah menyenaraikan menteri lain juga.

“Saya pun tersenarai dalam julat harta yang sudah dipersetujui oleh SPRM mengikut pengisytiharan harta saya. PKR hendak buat tak apalah. Rakan dalam PKR (Pakatan Harapan) pun tidak buat.

“Masing-masing ada pendirian. Pendirian kami dibuat selepas dilantik pada jawatan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette