Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media selepas Program Moh Ngeteh Santai Orang Kita di Kampung Bongkok, Kemayan hari ini.

BERA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituntut untuk memohon maaf kepada semua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwanya menerima bayaran RM300 setiap seorang untuk mengundi awal hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ia satu tuduhan jahat yang menghina anggota tentera baik di Bera mahu pun di seluruh negara.

“Dia (anggota tentera) mengundi pos. Dia (Anwar) tak faham agaknya. Dia ada tiga kategori, supaya Anwar faham ya. Pertama, undi pos. Tentera yang bertugas, polis dan yang terlibat dalam pilihan raya iaitu SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) malah media pun boleh undi pos.

“Dia (Anwar) kena faham  itu. Waktu dia jadi Timbalan Perdana Menteri pun pernah itu, undi pos, undi awal dan barulah undi biasa,” katanya pada sidang media selepas menyantuni masyarakat Orang Asli dalam Program Moh Ngeteh Santai Orang Kita di Kampung Bongkok, Kemayan petang tadi.

Malah, menurut Ismail Sabri yang juga calon Barisan Nasional  (BN)  bagi Parlimen Bera, tiada seorang pun warga di Bera yang diberikan layanan istimewa oleh SPR untuk mengundi lebih awal daripada tarikh yang digazetkan suruhanjaya itu.

“Soal dibayar dan sebagainya, ia merupakan tuduhan yang jahat. Jangan menghina anggota tentera. Saya minta Anwar tarik balik tuduhan tersebut,” tambahnya.

Petang tadi, Anwar mendakwa, ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera yang dibayar sejumlah RM300 untuk mengundi hari ini.

“Saya dapat maklumat sahih bahawa anggota tentera, undi pos telah mula mengundi pagi ini, (dan ia) melanggar peraturan SPR terutama untuk (kawasan) parlimen Bera dan (mereka) dibayar RM300,” katanya dipetik daripada laporan Malaysiakini.

Calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Tambun itu turut menggesa SPR untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas berhubung perkara terbabit.

Untuk rekod, permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuka automatik pada 10 Oktober susulan pengumuman pembubaran Parlimen Penggal ke-14.

Mereka yang layak membuat permohonan adalah petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media dan warganegara Malaysia yang berada di luar negara.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi  pada 15 November ini manakala hari mengundi adalah pada 19 November. -MalaysiaGazette