Azmin BN
Mohamed Azmin Ali

NIBONG TEBAL – Ketua Penerangan Perikatan (PN) Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyeru rakyat menghukum Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO sususlan kedegilan dan keangkuhan mereka membubarkan Parlimen menyebabkan rakyat kini terbeban demi kelancaran proses pilihan raya.

Ia susulan beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dilanda banjir kilat hingga mengakibatkan kempen serta ceramah politik terpaksa dibatalkan.

Jelas beliau, apa yang diputuskan dalam jemaah menteri kini terbukti apabila beberapa negeri lain dilanda banjir sekali gus membebankan rakyat.

“Ini yang kita telah bincang panjang dalam jemaah menteri supaya jangan buat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun ini kerana kebarangkalian bencana akibat hujan lebat ribut dan banjir amat tinggi.

“Hari ini terbukti apa yang telah kita putuskan dalam jemaah menteri adalah berdasarkan fakta dan maklumat agensi berkaitan supaya kita mengelakkan daripada menyusahkan rakyat sekiranya PRU15 diadakan.

Azmin ketika berucap pada ceramah perdana PN di Simpang Ampat.

“Namun kedegilan dan keangkuhan UMNO telah menyebabkan dewan dibubarkan dan hari ni rakyat terpaksa dibebankan dengan pelbagai masalah untuk melancarkan proses pilihanraya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa negeri dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak petang tadi.

Sehubungan itu, penyandang kerusi Parlimen Gombak itu menyeru rakyat menghukum UMNO pada 19 November ini menerusi pembuang undi.

“Rakyat mesti menghukum BN, UMNO yang degil dan angkuh serta telah menzalimi rakyat akibat daripada situasi semasa hari ni,” tegasnya.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan sebanyak 23 tempat dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak jam 5 petang tadi. – MalaysiaGazette