KUALA LUMPUR – Datuk Paduka Ibrahim Ali memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Rantau Panjang kerana kedudukan geografinya yang boleh menyumbang ekonomi kepada rakyat dan negara.
Kata Presiden Putra yang juga Pengerusi Gagasan Tanah Air (GTA) itu, Rantau Panjang yang merupakan pintu masuk utama Malaysia ke negeri jiran, Thailand mempunyai ketersambungan hubungan dengan dunia luar.
“Ada yang tanya saya kenapa pilihan bertanding di Rantau Panjang, bukan Parlimen Pasir Mas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
“Ia kerana pekan ini merupakan kawasan yang cukup strategik dan menjadi pintu keluar masuk Malaysia ke Thailand.
“Maknanya, kalau Rantau Panjang dimajukan, pembangunan di sekeliling daerah itu seperti Pasir Mas juga akan turut maju.
“Ini yang menyedarkan saya untuk memilih Rantau Panjang, selain sejarahnya yang pernah ada Perjanjian 1953 antara kedua negara,” katanya kepada dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Menurut Ibrahim, perjanjian yang dinamakan Thai-Malay Agreement 1953 itu masih berkuatkuasa, tetapi tidak diambil pedulikan oleh wakil rakyat sebelum ini yang menyebabkan pekan itu lesu.
Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengedarkan risalah yang dinamakan ‘Rancangan Saya’ kepada rakyat Rantau Panjang untuk mereka membuat penilaian dalam memilih Ahli Parlimen pada 19 November ini.
“Memang benar pada 8 November lalu saya ada mengedarkan apa yang dinamakan ‘Rancangan Saya’ jika dipilih menjadi Ahli Parlimen Rantau Panjang pada 19 November nanti.
“Rancangan ini bolehlah nak disebutkan sebagai manifesto atau ikrar atau janji, tetapi saya lebih suka menyatakan ini adalah rancangan saya untuk rakyat Parlimen Rantau Panjang.
“Sebenar saya sedih melihat keadaan pekan ini. Ia boleh dimajukan, tetapi tidak diusahakan oleh wakil rakyatnya. Lihat sahaja keadaannya dengan bangunan Kastam yang usang, bandarnya lesu sakit mata memandang, tetapi digelar pusat bebas cukai, sangat memalukan,” katanya.
Menurutnya, setiap tahun jika banjir, air Sungai Golok melimpah ke seluruh pekan Rantau Panjang kerana kerajaan Thailand membina benteng sepanjang sungai itu.
Sedangkan, katanya, di pekan itu tidak dilakukan apa-apa usaha untuk mengelakkan daripada limpahan air Sungai Golok menyebabkan rumah ditenggelami dan ribuan penduduk dipindahkan ke kawasan selamat.
“Saya telah buat kajian, kalau pekan ini dimajukan, ia boleh menjadi pusat yang lebih besar dan hebat di Kelantan.
“Cuba tengok mengapa Johor Bahru maju? Kerana ada Singapura. Kelantan juga boleh standing Johor kerana ada Thailand, tapi rakyat Thailand tidak masuk ke Malaysia kerana tidak ada apa yang menarik minat mereka untuk ke sini.
“Sedangkan, ramai pelancong masuk ke Thailand untuk menghabiskan cuti mereka di Phuket dan sebagainya. Kebanyakan pelancong adalah dari Amerika Syarikat, German, Eropah dan Jepun,” katanya.
Katanya, kemajuan yang dinikmati seperti di negara jiran itu yang mendorongnya untuk menawarkan diri bertanding di Rantau Panjang, selain tujuan utama untuk memajukan kawasan agar limpahan rezeki dapat dinikmati bersama.
Menurut Ibrahim, beliau juga sudah merangka rancangan yang hendak diperjuangkan seperti menyelesaikan isu banjir, menaiktaraf jalan utama Rantau Panjang-PasirMas-Kota Bharu kepada empat lorong.
Sebelum ini, jalan sedia ada sangat sesak sehingga mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke pekan Rantau Panjang.
“Apabila keadaan ini berubah, orang ramai hanya mengambil masa 20 minit untuk sampai ke pekan ini dan nilai tanah juga akan naik, sekali gus menarik pelancong untuk datang ke kawasan ini
“Saya akan susun semula pekan ini dengan bangunan baru, medan selera yang cantik, Zon Bebas Cukai yang menjual pelbagai jenis barangan, bukan semata-mata selipar, terompah, selimut dan toto sahaja.
“Kalau kita ubah ini banyak pelancong akan datang, selain impian saya untuk membina taman tema terbesar Asia Tenggara di sekitar Lubok Jong yang turut mempunyai medan kebudayaan dan tradisional rakyat Kelantan,” katanya. – MalaysiaGazette