PH 22 bulan
Aminuddin Harun (tengah) menjawab soalan daripada wartawan pada sesi ramah mesra bersama media di Port Dickson, hari ini.

PORT DICKSON – Barisan Nasional (BN) dikatakan sengaja memomokkan Pakatan Harapan (PH) telah gagal semasa 22 bulan berkuasa dahulu kepada rakyat semata-mata untuk menutup kelemahan mereka.

Calon PH bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kegagalan itu sebenarnya ada pada BN.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan membangkitkan tentang isu harga barangan yang naik ketika ini sehingga meresahkan rakyat.

“Kegagalan kita selama 22 bulan tidak menyusahkan rakyat. 22 bulan kita ada telur, 22 bulan harga ayam RM6.50 sekilogram dan, harga petrol (RON97) tak sampai RM3 seliter.

“Tetapi hari ini kita lihat bahawa mereka kata kita gagal tetapi harga barang naik, harga sayur, ikan, keperluan rakyat semua meningkat.

“Adakah itu dikatakan kejayaan, kita naikkan harga barang? Itu yang dipanggil sebuah kerajaan yang berjaya?” katanya pada sesi ramah mesra bersama media di sini, hari ini.

Aminuddin menambah, rakyat termasuk penduduk kampung yang tidak berpelajaran tinggi pun tahu parti yang mana berjaya atau gagal.

Beliau berpandangan, BN sebenarnya khuatir dengan kegagalan mereka sendiri lalu memomokkan tuduhan PH gagal sebagai kerajaan kepada para pengundi.

Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin yakin Negeri Sembilan akan menyumbang lebih banyak kerusi Parlimen untuk PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketika ini, PH menyandang empat kerusi Parlimen iaitu Port Dickson, Tampin, Rasah dan Seremban manakala Rembau, Jelebu dan Jempul di bawah BN serta Kuala Pilah disandang Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, sasaran PH untuk menambah kerusi Parlimen itu pasti dapat dicapai memandangkan pengundi-pengundi di negeri ini bermaklumat dan terdedah kepada kempen secara maya.

“Selain itu, meereka yang duduk di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Shah Alam selalu balik kampung daan berkongsi maklumat.

“Jadi, itu antara faktor yang menyumbang kepada kempen kita juga,” jelasnya. – MalaysiaGazette