Pengerusi Prikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Program Jelajah Prihatin Batu Pahat sempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Taman Seri Penggaram, Batu Pahat, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2022.

BATU PAHAT – Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyidin Yassin mendakwa sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) sudah meningkat dan semakin kukuh daripada orang-orang Melayu seluruh negara.

Katanya, trend itu terus meningkat sehingga 70 hingga 80 peratus dan ia memberikan peluang cerah kepada PN.

Meskipun begitu, beliau masih boleh membuat kesimpulan pada masa ini.

Katanya, keruntuhan kepimpinan dalam Barisan Nasional (BN) turut dilihat sebagai kelebihan kepada PN untuk menjadi pilihan kepada pengundi.

“Percayalah tuan-tuan sekiranya memilih Barisan Nasional untuk mentadbir negara ianya sama seperti anda merosakkan negara,” katanya.

Terdahulu Muhyiddin terlibat dalam Jelajah Prihatin Batu Pahat Anak Muda di Dewan Terbuka Taman Seri Penggaram, dekat sini, hari ini.

Bercakap kepada media selepas program itu, Muhyiddin turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan ucapan Ketua Pemuda Pas, Sik Shahiful Nasir apabila mengatakan pengundi “masuk api neraka” jika memilih Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, semua pemimpin PN seharusnya perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana boleh menimbulkan salah faham.

“Tak apalah saya fikir mereka sudah mengetahui penjelasannya. Saya tidak berapa gemar buat kenyataan seperti itu. Yang penting elakkan kenyataan boleh timbulkan salah faham dikalangan pengundi,” katanya.

Beliau juga meminta agar kenyataan Shahiful itu tidak diperbesarkan.

Ujarnya, apa yang penting adalah mengenai apa yang ditawarkan oleh PN pada rakyat.

Semalam, Shahiful tampil memohon maaf susulan ucapannya yang memberi amaran pengundi “masuk api neraka” jika memilih BN atau PH, berbanding PN.

Dalam video dimuatnaik di laman Facebook Pemuda Pas Sik, Shahiful mengemukakan permohonan maaf, sambil mengakui kenyataan dibuat menyinggung banyak pihak.

Beliau turut mahu video berhubung kenyataan itu tidak disebarkan demi menjamin PRU bebas daripada isu perkauman dan agama yang melampau.

Dalam pada itu, Muhyiddin meminta agar kenyataan Shahiful itu tidak diperbesarkan.

Ujarnya, apa yang penting adalah mengenai apa yang ditawarkan oleh PN pada rakyat. – MalaysiaGazette