TANJONG KARANG – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Habibah Mohd. Yusof menafikan dakwaan kononnya beliau tidak dikenali pengundi berbanding penyandang Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.
Sebagai ahli parti dan berkecimpung dalam politik bersama UMNO Bahagian Tanjong Karang sejak 32 tahun lalu, agak mustahil tidak dikenali kerana beliau terlibat dalam setiap kempen pilihan raya dan memenangkan calon BN.
“Saya bukan calon ‘payung terjun’ atau luar dan sudah empat penggal menjadi ketua wanita di parlimen ini.
“Jika mengatakan saya tidak dikenali rakyat, ia adalah tidak benar sama sekali kerana saya telah lama bersama parti, ” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Terdahulu beliau melakukan tinjuana di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sireh yang menempatkan 10 mangsa banjir sejak semalam.
Semalam, hujan lebat berterusan lebih tiga jam mengakibatkan lima rumah dihuni tiga keluarga di sekitar Kampung Sungai Sireh, di sini, dinaiki air akibat banjir pada jam 8.26 malam tadi.
Dalam pada itu, Habibah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang yakin mampu mempertahankan kubu kuat BN di Parlimen Tanjong Karang yang dimenangi sejak enam penggal lalu.
“Berdasarkan kempen pilihan raya selama lapan hari ini, saya mendapati sokongan akar umbi dan rakyat amat positif.
“Fokus saya hanya satu iaitu meneruskan legasi dan kesinambungan Tanjong Karang sebagai benteng terakhir parti di Selangor sejak sekian lama,”katanya.
Tambahnya, beliau akan turun padang menemui seramai mungkin rakyat terutamanya pengundi belia dan golongan muda.
“Saya menggunakan pendekatan bersama bantuan persatuan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendekati pengundi.
“Bagi saya, jurang antara pemimpin itu dengan rakyat perlu dikurangkan menerusi pendekatan mengutamakan kebajikan dan mesra rakyat,” katanya.
Kerusi Parlimen Tanjong Karang menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Datuk Dr. Zulkapferi Hanafi (PN); Siti Rahayu Baharin (PH); Azlan Sani Zawawi atau Lando (GTA) dan calon Bebas, Mohd. Rosni Mastol.
Sebelum ini, Noh yang juga Pengerusi BN Selangor mempertahankan kemenangan kerusi itu sejak 1995 melalui PRU9 hingga PRU14. – MalaysiaGazette