Keadaan banjir di Taman Saujana, Johor. Foto APMM

JOHOR BAHRU – Alah bisa tegal biasa itu perumpamaan yang diberikan oleh  sebahagian penduduk di Taman Saujana 2/1 yang semakin lali dilanda banjir.

Menurut Norizan Ramli,38 yang telah mendiami di kawasan itu lebih 10 tahun berkata, dia tidak terkejut dengan musibah yang terpaksa dihadapinya memandangkan ia bukan kejadian kali pertama.

Norizan Ramli

Bagaimanapun insiden itu jelasnya menjadikan penduduk berasa penat kerana terpaksa menangggung kerugian.

“Ini bukan kali pertama, memang setiap kali hujan  lebat rumah kami akan dinaiki air. Penat memang penat sebab terpaksa buang peralatan yang rosak selepas itu kena beli yang baharu.

“Tetapi kami tiada pilihan kerana kalau mahu pindah sekalipun kami kurang mampu disebabkan harga sewa yang terlalu mahal di Johor Bahru ini.

“Mahu tidak mahu, kita kena hadapi juga,” katanya ketika ditemui di Taman Saujana petang tadi.

Katanya ketika kejadian banjir, dia sedang melakukan kerja-kerja rumah pantas menelefon suaminya yang sedang bekerja.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memantau paras air longkang besar di kawasan perumahan di Tanan Saujana petang tadi.

Kejadian 2.30 petang itu katanya, berlaku terlalu pantas menyebabkan sebahagian kelengkapan rumah tidak dapat diselamatkan.

“Waktu kejadian saya lihat air dah naik paras buku lali tetapi saya tetap buat panggilan kepada suami kerana hujan lebat waktu itu.

“Jadi saya selamatkan mana yang sempat termasuk mengalihkan kereta ke kawasan yang tinggi,”katanya.

Ketika tinjauan Malaysia Gazette di kawasan itu pihak Agkatan Pertahanan Awam (APM) masih melakukan  kerja-kerja membantu penduduk mengeluarkan air yang memasuki rumah mereka menggunakan pengepam generator.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati longkang besar yang terletak berhampiran kediaman penduduk dipercayai punca utama banjir berlaku.

Seorang penduduk Taman Saujana mengeluarkan air bertakung di kediamannya setelah kawasan itu dinaiki air petang tadi.

Seorang lagi penduduk Taman Saujana, Mohamad Zaidin Mohammad,40 berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja,  bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan rakannya kawasan  perumahan itu dinaiki air.

Zaidin Mohammad

Setibanya di rumah, air telah mencapai paras peha.

“Kita penduduk di sini memang sudah berkali-kali hadapi situasi begini. Cuma kalau hujan lebat pada waktu malam kami amat risau.

“Apa yang saya boleh buat, semua barang-barang penting memang saya letak di tempat yang tinggi,” ujarnya yang masih boleh tersenyum meskipun dilanda bencana ini.

Bagi Johari Mohammad, 38, yang sudah menjangkakan banjir ini akan berlaku telah mengambil langkah awal menyelamatkan dokumen-dokumen penting.

 

Johari Mohammad

Pada masa sama, dia merayu agar ada pihak sudi tampil membantu penduduk Taman Saujana yang terkesan banjir.

“Terus tetang saya katakan memang kami perlukan bantuan terutama dalam bentuk kewangan.

“Bukan apa, dengan bantuan kewangan itu dapatlah kami beli barang-barang kami yang banyak rosak terutama barang elektrik.

“Kebanyakan mangsa di sini bukan orang senang, pendapatan kami kecil,” tambahnya.

Hujan yang berterusan lebih dua jam hari ini mengakibatkan banjir kilat di dua kawasan iaitu di Pasir Gudang dan Kluang.

Sehingga berita ini ditulis, penduduk kawasan terbabit tidak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. – MalaysiaGazette