Orang ramai memberikan bantuan awal kepada mangsa selepas dihempap pokok tumbang di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka, petang semalam.

MELAKA – Selepas lebih enam jam bertarung nyawa di hospital, bayi lelaki 17 bulan yang dihempap dahan pokok ru yang tumbang di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini petang semalam meninggal dunia.

Berita sedih itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi melalui Facebook rasminya awal pagi tadi.

“Pada jam 1.30 pagi Kak Ina mendapat panggilan daripada Pihak Hospital Melaka bahawa adik Muhammad Zafran Ilman Bin Mohd Syazwan, mangsa dihempap pokok telah kembali kepada Sang Penciptanya.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaan ini,” tulisnya.

Orang ramai membantu bayi lelaki yang cedera akibat dihempap pokok rhu di Pantai Puteri, Tanjung Kling petang tadi.

Malam tadi, media melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, mangsa sedang didukung ibunya manakala dua lagi anaknya dan suami sedang mandi-manda di pantai.

Ketika kejadian keluarga berkenaan sedang berkelah tiba-tiba sebatang pokok ru tumbang dan dahan pada bahagian tengah pokok menghempap dua beranak dari Selangor itu.

Ia menyebabkan kedua-dua mereka tersungkur dan tersembam ke dalam pasir.

Keadaan itu menyebabkan pengunjung pantai peranginan itu segera memberi bantuan dengan mengorek pasir di lokasi kejadian untuk mengeluarkan ibu berkenaan yang terbenam bersama bayi di dalam dakapannya.

Difahamkan, wanita berkenaan yang berusia 30-an mengalami pendarahan di belakang kepala manakala bayinya itu tidak sedarkan diri dipercayai akibat lemas sehingga terpaksa dibawa ke Hospital Melaka.

Sementara itu, satu operasi menebang sebahagian pokok ru yang berisiko tumbang kerana sudah berusia lebih 23 tahun di pantai itu akan diadakan pagi ini melibatkan beberapa agensi berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Sebahagian kawasan pantai peranginan sepanjang 2.5 kilometer berkenaan yang sering menjadi tumpuan pelancong juga akan ditutup daripada sebarang aktiviti perkhemahan dan perkelahan buat sementara waktu bagi mengelak kejadian berulang. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast