Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Helmy Abd Latif (kanan) bersama calon MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan calon Perikatan Nasional , Abdullah Husin beramah mesra pada Majlis Maulidur Rasul di Pusat Aktivit Warga Emas, Parit Keroma Muar, Muar, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 10 NOVEMBER 2022.

JOHOR BAHRU – Peluang Barisan Nasional (BN) untuk menembus empat kubu pembangkang di Johor iaitu Kulai, Tebrau, Labis dan Muar telah meningkat, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, penilaian itu dibuat antaranya berdasarkan “suasana pilihan raya” semasa yang amat berbeza dengan keadaan 2018.

Dalam suasana yang hangat dan berpihak kepada pembangkang pada 2018, PH berjaya menawan 18 kerusi Parlimen di Johor dan kejayaan di negeri itu juga membolehkan PH menguasai Persekutuan.

Beliau berkata, calon DAP di Kulai iaitu Teo Nie Ching sibuk berkempen di tempat lain sehingga jarang kelihatan di Kulai, satu keadaan yang memberi kelebihan kepada BN.

Katanya, calon BN di Labis iaitu Datuk Chua Tee Yong  merupakan calon yang dikenali orang tempatan manakala calon di Tebrau iaitu Datuk Nicole Wong mempunyai imej yang positif.

Menurutnya, di Muar pula, calon BN juga mendapat sambutan yang baik daripada pengundi Melayu dan Cina di situ.

“Berdasarkan jumlah undi yang kami terima dalam pilihan raya negeri, UMNO mempunyai peluang yang besar untuk menawan Muar,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Calon BN, Mohd. Helmy Abd. Latif bertembung dengan calon popular yang juga penyandang kerusi, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar.

Mengulas populariti Syed Saddiq, Onn Hafiz berkata, orang yang kurang bercakap kadangkala boleh melakukan banyak benda berbanding “calon TikTok.”

“Yang pandai bercakap tidak semestinya pandai membuat kerja,” katanya.

2 Komen

Comments are closed.