Paroi
Mohamad Hasan berucap pada majlis bersama orang ramai di Kampung Paroi, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin pengundi-pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi akan memberi sokongan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, tanggapan bahawa DUN Paroi merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) adalah kurang tepat.

Menurut beliau, BN memenangi kerusi DUN tersebut apabila ia mula diwujudkan pada PRU-11 namun ia jatuh ke tangan Pas pada PRU-12 sebelum dimenangi semula oleh BN pada PRU-13 dan dirampas oleh PH pada PRU-14.

“Jadi tak boleh katakan Paroi ini kubu kuat (PH). Pada 2018 terutamanya kita faham ada tsunami yang berlaku, itupun kita menang banyak.

“Saya yakin pada PRU kali ini pengundi di Paroi akan beri sokongan kepada BN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama masyarakat di Kampong Paroi di sini, hari ini.

Kawasan DUN Paroi menjadi tumpuan BN, PH dan Perikatan Nasional (PN) kerana ia mempunyai jumlah pengundi yang besar iaitu lebih 50,000 orang serta jumlah pengundi baharu yang tinggi.

Secara keseluruhan, kerusi Parlimen Rembau mempunyai seramai 133,555 pengundi dan empat kawasan DUN iaitu Paroi, Kota, Rantau dan Chembong.

PH dilihat mempunyai kelebihan di DUN Paroi yang diwakili oleh Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani dari Parti Amanah Negara (Amanah). – MalaysiaGazette