muda BN
Mohd. Shukri Shamsuddin berucap pada program sudut pemidato di Rumah Pangsa Senawang 1, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Gelombang anak muda di sekitar kawasan Parlimen Rembau termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi dilihat lebih cenderung memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau, Mohd. Shukri Shamsuddin berkata, sikap positif itu dapat dilihat menerusi program sudut pemidato di sekitar DUN Paroi yang bermula sejak hari penamaan calon 5 November lalu.

Beliau pada mulanya bimbang golongan muda di DUN Paroi tidak memberi sambutan terhadap program tersebut memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani merupakan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan.

“Tetapi bila saya kempen, saya dengar sambutan anak muda terhadap BN di sini amat menggalakkan, amat luar biasa.

“Ia menjadi semacam tonik kepada kita untuk buat lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menyampaikan ucapan pada program sudut pemidato di Rumah Pangsa Senawang 1 di sini, hari ini.

Program jelajah sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) itu dianjurkan oleh BN Comms Bahagian Rembau dan Gerak Gempur Pemuda BN Parlimen Rembau.

Mohd. Shukri menambah, setakat ini, sebanyak tujuh program sudut pemidato telah dianjurkan dan akan diteruskan sehingga hari terakhir berkempen pada 18 November ini dengan menyasarkan pengundi-pengundi atas pagar.

Beliau memberitahu, sokongan yang diberikan oleh golongan muda terhadap BN telah melonjakkan keyakinannya untuk berkempen.

Mohd. Shukri juga percaya pengundi muda cukup bijak dan bermaklumat untuk memilih calon yang akan mewakili mereka di Dewan Rakyat pada PRU-15. – MalaysiaGazette