nor azman manifesto
Nor Azman Mohamad berucap pada program Ceramah Mega Ayuh Malaysia Kita Boleh di Dataran Rembau, malam tadi.

REMBAU – Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan dikatakan berjaya melaksanakan 98 peratus janji-janji yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Calon PH bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, Nor Azman Mohamad berkata, salah satu kejayaan besar PH adalah meningkatkan rizab kerajaan Negeri Sembilan sehingga mencecah RM1 bilion pada 2020.

Menurut beliau, jumlah itu adalah jauh lebih tinggi berbanding RM400 juta yang dicapai kerajaan negeri terdahulu di bawah BN sebelum PRU-14.

“Selain itu, di Negeri Sembilan, dalam tempoh enam tahun BN menjadi kerajaan, jumlah pelaburan yang dibawa masuk adalah sekitar RM18 bilion.

“Kerajaan PH tak sampai lima tahun, jumlah pelaburan yang dibawa masuk adalah RM23 bilion,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Mega Ayuh Malaysia Kita Boleh di Dataran Rembau, malam tadi.

Nor Azman yakin bahawa lebih banyak inisiatif dapat dilaksanakan sekiranya PH diberi masa yang cukup untuk memerintah negara.

Beliau memberitahu, perkara itu dapat dilihat di Negeri Sembilan apabila kerajaan negeri di bawah PH dapat menyelesaikan banyak masalah rakyat.

“Model kerajaan PH Negeri Sembilan adalah wajar diangkat sebagai contoh kepada seluruh rakyat Malaysia bagaimana kerajaan negeri yang dipimpin PH menempa kejayaan demi kejayaan dalam tempoh empat tahun,” jelasnya. – MalaysiaGazette