REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Rembau, Jufitri Joha mendakwa, pengerusi-pengerusi majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) di daerah ini berdepan kesukaran menjalankan tugas kerana disabotaj oleh pegawai-pegawai kerajaan.
Menurut beliau, pengerusi-pengerusi MPKK telah melaksanakan tugas dengan baik namun mereka menghadapi halangan kerana segelintir pegawai kerajaan tidak memberi kerjasama.
Tambah Jufitri, mereka yang lebih dikenali dengan gelaran ketua kampung bekerja tanpa memilih bulu dan tidak mengira sama ada penduduk yang memerlukan bantuan menyokong PH atau sebaliknya.
“Kita mahu rakyat yang susah dibantu secepat mungkin… mana mungkin kalau tok-tok ketua kampung kita ini yang saya lihat sangat menyantuni pengundi, mereka pergi rumah ke rumah namun permasalahannya mereka tidak dapat kerjasama dari segelintir pegawai kerajaan yang sengaja nak menunjukkan imej negatif kepada PH.
“Oleh itu kita perlu tukar kerajaan Persekutuan, kita kekalkan kerajaan negeri supaya PH menjadi solusi kepada permasalahan rakyat,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Mega Ayuh Malaysia Kita Boleh di Dataran Rembau di sini, malam tadi.
MPKK ditubuhkan oleh Pakatan Harapan (PH) selepas mereka mengambil alih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi menggantikan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) yang diwujudkan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu.
Mulai November 2021, kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung Persekutuan (JPKKP) di negeri-negeri yang dikuasai PH iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.
Peranan JPKKP adalah sebagai pemudahcara antara rakyat dan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Untuk makluman, ketua kampung di Negeri Sembilan dikenali dalam kalangan masyarakat sebagai ‘tok empat’.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika berucap pada program sama berkata, beliau kesal dengan kempen Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa berbaur perkauman.
Calon PH bagi kerusi Parlimen Pandan itu memberitahu, mereka dipercaya berbuat demikian untuk mendapatkan undi pada PRU-15 namun tidak menyedari kesannya yang berpanjangan terhadap negara.
“Pas dan Bersatu ni nak buat apa? Nak suruh orang Melayu benci sangat kepada orang Cina, India?” soalnya.
Beliau berkata, perbezaan pandangan tidak sepatutnya menjadikan kaum Cina sebagai musuh orang Melayu kerana negara ini dibina secara bersama oleh semua kaum. – MalaysiaGazette
deme mana pernah salah.. urmm..