PELABUHAN KLANG – Pertembungan tujuh penjuru di kerusi P110 Klang bukan satu laluan sukar buat calon Bebas, Hedrhin Ramli, malah merupakan satu kelebihan susulan perpecahan dalaman parti melibatkan pencabarnya ketika ini.

Beliau mendakwa, pergolakan yang berlaku dalam parti-parti utama seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) menyebabkan pengundi di Parlimen semakin hilang kepercayaan.

“Parti (politik) lebih banyak memecahbelahkan orang daripada menyatukan.

“Dengan adanya platform Bebas ini, saya dapat bersama dan memperjuangkan daerah Klang.

“Ini peluang saya apabila kepercayaan dan kebergantungan kepada parti semakin runtuh terutama dalam kalangan anak muda.

“Mereka (anak muda) akan tengok kepada calon,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di sekitar Pulau Indah, di sini, hari ini.

Parlimen Klang bakal menyaksikan pertembungan tujuh kerusi melibatkan lima calon parti politik dan dua Bebas.

Calon parti bertanding iaitu Tee Hooi Ling mewakili Barisan Nasional (BN), V. Ganabatirau (PH), P. Jaya Chandran (PN), Loo Cheng Wee (Warisan) serta S. Chandrasegar (PRM).

Selain Hedrhin, kerusi itu direbut calon Bebas, Deepak Jaikishan Jaikishan Rewachand.

Selain itu,beliau percaya Parlimen Klang bakal bertukar tangan dan bukan lagi kubu kuat PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan pengundi 18 tahun dan belia tidak lagi memenangkan parti itu.

“Saya sendiri sudah bergerak aktif dalam masyarakat di Parlimen Klang selama tiga tahun bersama NGO, terutama menjaga kebajikan rakyat.

“Fokus saya membangunkan ekonomi, pendidikan dan infrastruktur, saya membantu golongan susah dan menyantuni anak muda sebelum ini,” katanya.

Beliau tidak menafikan faktor calon anak tempatan juga menjadi kayu pengukur kepada pilihan pengundi muda.

“Calon tempatan memberi kelebihan kepada saya di daerah ini sekiranya diberi mandat.

“Isu banjir yang kerap berlaku khususnya di Telok Gong dan Pulau Indah memberi kesan negatif kepada PH.

“Ia perlu diatasi dengan sebaik mungkin. Saya bersedia jadi hamba rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast