KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Pertubuhan Muafakat Pondok Se-Malaysia (PMPS) akan mengadakan Majlis Munajat Selamatkan Malaysia secara serentak di seluruh negara, esok.
Jurucakapnya, Muhammad Subki berkata, majlis esok melibatkan 313 pondok dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.
Katanya, majlis dengan sokongan beberapa NGO itu bertujuan untuk memohon kepada Allah mengurniakan keselamatan kesejahteraan, kemakmuran serta kepimpinan Islam yang berwibawa kepada tanah air Malaysia.
“Bertepatan pula Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini berdepan dengan krisis banjir, wabak serta ekonomi yang semakin mencabar kehidupan rakyat.
“Jadi, majlis ini diadakan pada jam 9 malam di madrasah dan pondok seluruh negara akan dengan Solat Hajat, munajat serta Istighosah,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Beliau berkata, majlis itu yang diadakan di beberapa lokasi terpilih akan turut disiarkan secara langsung di saluran media madrasah dan pertubuhan.
Beliau menyeru semua umat Islam bersama-sama menyertai majlis itu di lokasi berhampiran atau sekurang-kurangnya mengikutinya di media dan sama-sama menghebahkan kepada umum.
“Semoga kesepaduan doa dan munajat ini akan menjadi asbab limpahan rahmat dan keberkatan bagi Malaysia yang kita cintai,” katanya. – MalaysiaGazette