Azmin BN
Mohamed Azmin Ali

GOMBAK – Selepas Barisan Nasional (BN) melahirkan keyakinan dapat membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), nada sama turut dizahirkan seterunya, Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keyakinan itu dicerminkan menerusi sambutan yang diberikan penyokong-penyokong dan mood pengundi.

“Kalau boleh nak lebih daripada itu, minima 112. Itu cabaran dan saya lihat mood di bawah menerima baik tawaran PN kerana tawaran yang kita buat itu adalah mampu dilakukan dan pragmatik serta praktikal.

“Ia boleh kita laksanakan dalam tempoh yang ditetapkan. Saya yakin bahawa PN akan mendapat jumlah yang cukup positif untuk membentuk kerajaan pada 19 November ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada media selepas menghadiri merasmikan pertandingan e-sport Datuk Seri Azmin Ali (DSAA) di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Taman Melawar, hari ini.

Azmin diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shabery Cheek yang yakin BN akan mendapat lebih 112 kerusi pasca PRU15.

Sandaran itu dikuatkan lagi dengan nada yang dipamerkan negeri-negeri di utara yang mana rata-rata pengundinya menerima PN sebagai gabungan politik.

“Saya baru pulang dari jelajah di utara iaitu Perak, Pulau Pinang dan Kedah, sambutan dari segi pengundi tempatan amat positif.

“Kita akan teruskan dalam fasa yang terakhir ini untuk pastikan pengundi-pengundi khususnya anak muda memberikan dukungan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Azmin turut diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mempertikai keupayaan calon wanita untuk menjadi Ahli Parlimen Sik.

Jelas Azmin, kenyataan yang dikeluarkan Sanusi adalah dalam dielak Sik dan perkara itu amat berbeza maknanya bagi masyarakat di situ.

“Malam tadi saya ada dengan beliau di Alor Setar dan mengikut penjelasan MB Kedah, dia tidak bermaksud apa yang dilaporkan, itu adalah bahasa tempatan masyarakat Sik berbeza dengan bahasa tempatan dan dialek Kedah yang lain.

“Beliau berasal dari Sik dan duduk di situ dan itulah bahasa bagi orang Sik itu, bukan satu perkara yang luar biasa. Beliau tidak bermaksud untuk menghina kaum wanita,” ujar Azmin.

Semalam, Sanusi dalam ucapannya pada program Ceramah Umum Pilihan Raya ke-15 Perikatan Nasional di Padang Sera dekat Jitra mempertikaikan penglibatan calon wanita di Parlimen Sik.

Jelas Sanusi, kenyataannya itu dibuat dalam konteks geografi dan geopolitik di Parlimen itu yang memerlukan seorang Ahli Parlimen lelaki untuk mewakilinya. – MalaysiaGazette