Calon BN Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani menghadiri Program Sembang Santai : Mahasiswa : Youth Copy DJ di PPR Hiliran Ampang, hari ini.

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ‘tidak hairan’ sekiranya kerusi Debat Wilayah yang disediakan untuknya oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malam ini kosong.

Tegasnya, beliau tiada masalah untuk berdebat dengan sesiapa pun tetapi haruslah disusun dengan baik supaya mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak sebelum ia dihebahkan kepada semua termasuk di media sosial.

Johari menambah, sekarang bukanlah masa yang sesuai memandangkan semua pihak kini sedang sibuk berkempen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya ini biasa debat dengan orang, dengan Rafizi (Rafizi Ramli) pun saya berani  luangkan masa secara langsung lebih kurang satu jam di televisyen dengan 2.6 juta penonton, tak ada masalah. Kita bertukar- tukar pemikiran.

“Tetapi hari ini orang tengah berkempen, kita nak berikan sebanyak mungkin penerangan kepada setiap segmen masyarakat. Kalau you nak organise debat, boleh, tapi you plan properly.

 

“Ini you pergi advertise dulu dua, tiga hari, lepas tu dia cerita nak debat. Lepas tu dia nakkan orang pergi dia punya Facebook. Tiada masalah, tetapi saya ampunkanlah. You faham tak? Itu je.

“Biasalah budak-budak panjat pokok rambutan. Jangan jadikan isu. Dia nak debat malam ini ke, malam esok ke, nak letak kerusi kosong, biarkanlah. Mereka tidak berfikiran matang,” ujarnya.

Terdahulu, terdapat sebuah NGO menguar-uarkan di media sosial berhubung acara debat terbuka antara Johari dengan Khalid Abd Samad yang dikenali sebagai ‘Debat Wilayah: Kelangsungan Hidup Anak Muda, Apa Masa Depan Mereka’.

Debat Wilayah itu dijadualkan akan berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman malam ini pada pukul 8.30 malam. – MalaysiaGazette