Jeneral Tan Sri Affendi Buang

KUALA LUMPUR – Seramai 146,737 anggota tentera dan pasangan mereka akan mengundi awal pada Selasa ini.

Sebanyak 153 pusat mengundi awal ATM telah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai pusat pengundian awal bagi anggota dan pasangan di seluruh negara.

Bagaimanapun, pengundian bagi anggota tentera yang didaftarkan sebagai Pengundi Pos telah bermula 7 November lalu sehingga jam 5 petang 19 November ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, adalah menjadi harapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar proses pengundian berjalan lancar bagi membolehkan setiap anggota dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

“ATM juga sentiasa menyokong proses dan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

“Atas kesetiaan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma-norma integriti di dalam melaksanakan amanah
serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Affendi, apa yang penting, ATM akan terus memfokuskan keutamaan dalam memperkasakan kesiapsiagaan angkatan demi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara pada sebilang masa, lebih-lebih lagi ketika negara mula memasuki Monsun
Timur Laut atau musim tengkujuh.

Tambah beliau, ATM telah bersiap siaga dan bersedia untuk
mengaturgerakkan aset sekiranya berlakunya banjir terutama di negeri-negeri yang berisiko terjejas dengan bencana tersebut.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Affendi berkata, ATM juga bersedia menghulurkan bantuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pihak berkuasa tempatan
dan pihak berkuasa awam dalam memastikan proses pengundian di seluruh negara berjalan lancar.

“Pada masa sama ianya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini sepanjang proses pengundian serta apabila keputusan pilihan raya diumumkan kelak,” ujarnya. – MalaysiaGazette