Calon BN Parlimen Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah (kiri) sedang berbincangan dengan jentera mengenai persiapan pilihan raya.

IPOH – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan bertindak tidak adil apabila mendakwa ada anggota keselamatan sanggup menerima rasuah yang hanya bernilai RM300 untuk mengundi Barisan Nasional (BN).

Menurut calon BN Parlimen Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah, harga dan maruah pasukan keselamatan lebih besar daripada nilai RM300.

“Tiba-tiba pengundi tentera dibayar. Angota kita ini ada jati diri sendiri. Sebagai angota keselamatan mereka ini lebih kasihkan watan atas sifat mereka sebagai anggota keselamatan.

“Jangan kita mudah buat tuduhan hanya semata-mata mencari laba politik. Tidak adil kepada mereka.

“Mereka juga sayangkan negara dan tahu berfikir. Takkan hanya dengan RM300 mereka akan jual hak mereka,” kata Aminuddin.

Tambah beliau, pesaingnya yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Tambun tidak seharusnya memperlekehkan anggota keselamatan.

Jika Anwar mempunyai bukti beliau perlu tampil menujukkan bukti tersebut dan tidak hanya bercakap hingga menimbulkan spekulasi.

“Pasal saya tahu Pakatan Harapan ini daripada dahulu kerja dia tembak.

“Dia tidak ada bukti. Hanya bercakap mengocak air atau situasi supaya anggota lain yang tak dapat mula bertanya. Bagi kat mana, siapa yang dapat berpilih-pilih ke. Saya yakin tidak berlaku,” kata Aminuddin.

Aminuddin mengingatkan PH pernah membuat pelbagai pembohongan pada pilihan raya umum sebelum termasuk mendakwa 40,000 rakyat Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi.

Serentak itu beliau mengingatkan pasukan keselamatan yang akan mengundi awal esok tidak termakan dakwaan yang dilemparkan oleh Anwar.

“Saya harap anggota keselamatan kita gunakanlah undi yang ada dengan bijak. Pilihlah parti yang dapat jaga kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” katanya yang ditemui di bilik gerakan BN di sini hari ini.

Tiga hari lalu media melaporkan, Anwar mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan parlimen Bera di Pahang sudah mengundi untuk PRU kali ini.

Berucap di majlis ramah mesra di Kuala Nerus, Terengganu Pengerusi PH itu turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

“Saya dapat maklumat sahih bahawa anggota tentera, undi pos telah mula mengundi pagi ini, (dan ia) melanggar peraturan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), terutama untuk (kawasan) parlimen Bera dan (mereka) dibayar RM300,” katanya di hadapan sekitar 100 hadirin yang hadir pada majlis itu.-MalaysiaGazette