Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 14 JUN 2022.

KUALA LUMPUR- Sudah tiba masanya Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibubarkan dan berhenti daripada membazirkan wang rakyat.

Menurut Chester Lim, majlis yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak mempunyai apa-apa fungsi.

Malah majlis itu juga tidak berfungsi seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC).

Tambahnya, sehingga ke hari ini, MPN tidak pernah mengeluarkan walau satu laporan sekali pun.

“Memberikan jawatan Pengerusi kepada Muhyiddin sama seperti memberi ganjaran kepada seorang yang tidak berguna supaya beliau masih memiliki status menteri,” katanya dalam surat pembaca FMT.

Menurut Chester, pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku pertama sehingga ke tiga amat baik tahun ini.

Malah KDNK suku ketiga merekodkan pertumbuhan lebih 14 peratus dan ekonomi berjaya dipulihkan tanpa bantuan MPN.

Katanya, rakyat Malaysia mahu penyata akaun yang menunjukkan kos yang dikeluarkan untuk menanggung MPN dan output yang diberikan oleh majlis berkenaan.-MalaysiaGazette