SHAH ALAM – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Selangor (DPPMS) amat kecewa dengan kerajaan Selangor yang masih gagal memajukan negeri itu walaupun sudah mengambil alih pemerintahan dari kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 14 tahun lalu.
Presidennya, Tan Sri Rozali Ismail menyatakan kekecewaan itu berdasarkan kepada infrastruktur di Selangor dan Shah Alam khususnya tidak dilaksanakan dengan baik dan terancang.
Justeru, katanya, sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada 19 November ini, Ahli Majlis Tertinggi DPPMS mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan mengenai isu semasa.
Menurut beliau, perbincangan itu berkaitan dengan keadaan peniaga Melayu, peniaga kecil dan sederhana, hala tuju dan peranan yang telah dilaksanakan kerajaan Selangor sekarang kepada mereka selama 14 tahun.
“Kita juga membincangkan secara am mengenai kemajuan di Selangor dari segi infrastruktur, menarik pelabur asing, pembinaan kilang dan penyertaan bumiputera dalam industri perumahan kecil dan sederhana serta pembangunan Shah Alam sebagai ibu kota Selangor.
“Hari ini kita telah mengutarakan pelbagai isu dan pertanyaan kepada calon Barisan Nasional (BN), Isham Jalil selaku calon muda yang akan bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam pada Sabtu ini.
“Kita di DPPMS ini mengalu-alukan penyertaan ramai calon muda yang dilihat berkaliber berdasarkan pendidikan dan pengalaman mereka serta menaruh harapan kepada mereka agar dapat membawa halatuju bandaraya ini ke arah yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pimpinan Tertinggi DPPMS di Wisma Rozali, di sini, hari ini.
Kata Rozali, amat penting pembangunan di Shah Alam dibangunkan secara lebih teratur dan tersusun agar tidak kelihatan mundur seperti sekarang, iaitu selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih negeri itu daripada BN pada PRU 2008.
Ujar beliau, daripada segi kemajuan di Parlimen itu amat mengecewakan khususnya kepada golongan peniaga dan industri di Selangor.
Malah, katanya, Shah Alam tidak mencerminkan sebagai bandaraya seperti yang diperolehi status lebih 10 tahun lalu.
“Kita lihat infrastruktur di sini amat mengecewakan, terutama dari segi landskapnya yang tidak mencerminkan status sebuah bandaraya yang sebenar kalau dibandingkan dengan Johor Bahru dan Kota Melaka
“Dari segi bangunannya juga tidak diselenggara dengan sempurna dan tidak mempunyai SOP, selain tidak mempunyai perancangan yang teratur dari segi pengurusan sistem saliran dan perparitan.
“Sebab itulah dalam sejarah Shah Alam ini berlaku banjir yang boleh sampai ke stadium,” katanya.
Kata Rozali, setiap kali banjir, pihak berkenaan buat kenyataan mahu membaiki longkang, sedangkan usaha hendak mengatasi bencana ini bukan saja melibatkan longkang.
Katanya, landskapnya dan aliran sungai juga perlu diambil kira, selain banyak teknologi terkini yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah banjir kalau dirancang dengan betul.
“Ini amat mengecewakan kepada kami golongan peniaga sebab kerajaan negeri tidak ada idea yang bernas untuk mengatasi masalah itu terutama di Shah Alam.
“Dari segi peniaga kecil dan sederhana pula, kami kecewa dengan kerajaan negeri sekarang sebab tidak ada usaha untuk memajukan bandar ini dan Selangor khususnya, yang mana satu hari dulu pernah diletakkan sebagai negeri paling maju di Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette