BALIK PULAU – “Kempen politik dalam tempoh 14 hari tak menjaminkan kemenangan sebaliknya kena ada usaha berterusan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)”.
Itu reaksi calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah ketika diminta mengulas perjalanan kempen PRU15 yang memasuki minggu kedua.
Jelas beliau, meskipun BN gagal mendapat mandat di Balik Pulau namun kerja-kerja membantu rakyat sudah dimulakan selepas tiga minggu kerajaan baru mengangkat sumpah.
“Saya tak perlu cerita apa kami (BN) buat, orang Balik Pulau tau bila pandemik Covid-19, masalah banjir melanda pejabat UMNO menjadi tempat uruskan bantuan terhadap mereka yang terkesan.
“Kita beri khidmat berterusan sebab itu saya kata kempen singkat ini tidak menjamin kemenangan secara keseluruhan namun dalam masa sama, saya tidak menolak kemungkinan pengundi boleh lari disebabkan termakan hasutan pihak lawan dalam tempoh kempen.
“Kalau kita tengok pembangkang dah tak ada modal, dia guna perkataan kotor atau tidak sihat untuk anak-anak baca di Facebook. Bagi saya orang yang beradab tak akan buat perkara sebegini kerana tindakan maki hamun pemimpin bukan budaya kita,” katanya kepada pemberita di sini.
Ketika diminta mengulas mengenai manifesto yang dibawa untuk penduduk Balik Pulau, Shah Headan memaklumkan tiada sebarang tawaran khas dibuat sebaliknya BN membawa sesuatu perkara lebih bersifat realistik dan menjamin kehidupan rakyat.
“Saya tak ada tawaran, saya orang parti dan akan ikut dasar parti namun saya tetap akan bawa tuntutan orang Balik Pulau ke peringkat tertinggi.
“Dua isu yang menghantui penduduk sini iaitu projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dan pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar. Kita akan bawa perkara ke peringkat atasan agar nasib orang tempatan di sini serta nelayan terus terbela,” jelasnya. – MalaysiaGazette