SUNGAI BULOH – Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh Khairy Jamaluddin mahu melihat ‘ribut taufan’ perubahan sokongan terhadap parti itu berlaku 19 November ini.
Melihat sokongan yang diberikan kepadanya sejak seminggu berkempen, Khairy berkata tidak mustahil kerusi yang telah dimenangi Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal kembali menjadi milik BN pada pilihan raya kali ini.
“Pada pilihan raya yang lepas saya anggap ini sebagai satu misi mustahil tetapi apabila saya jumpa orang Sungai Buloh dan malam ini tengok sambutan, maka tiada apa yang mustahil di Sungai Buloh.
“Kita mampu bawa perubahan tersebut. Mari bawa angin perubahan. Biarlah 19 November ia menjadi ribut taufan di Sungai Buloh.
“Saya sudah rasai angin perubahan,” katanya ketika berucap di hadapan ratusan pengunjung di Uptown Kota Damansara.
Terdahulu Khairy bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berjumpa dengan pengundi di kawasan itu.
Khairy berkata, selama tiga penggal Sungai Buloh diwakili oleh Ahli Parlimen PH, banyak isu yang gagal ditangani.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi untuk memberinya peluang menjadi Ahli Parlimen yang mampu menangani isu penduduk setempat.
“Tiga penggal banyak isu yang tidak dapat diselesaikan di sini, yang datang ini bukan calon biasa, yang datang sekarang Khairy Jamaluddin.
“Saya sudah bentangkan perancangan saya bukan janji bulan dan bintang tapi perancangan untuk orang Sungai Buloh.
“Kalau boleh hari ini saya nak mula bekerja.
“Saya akan jaga Sungai Buloh dengan baik, saya nak jadi Ahli Parlimen terbaik untuk Sungai Buloh dan atas sokongan tuan tuan dan puan puan saya mahu jadi Perdana Menteri dari Sungai Buloh,” katanya sambil disambut oleh sorakan pengunjung.
Sementara itu, Khairy sekali lagi mengajak pengundi Sungai Buloh tidak terpengaruh dengan naratif ‘satu undi untuk KJ dan satu undi untuk orang lain’ yang dimainkan pihak lawan. -MalaysiaGazette
Menang di Sg Buluh tidak bermakna jika kalah di lain tempat. Berkempen hanya utk menang di kerusi yang ditandingi tetapi peluru di hala kpd rakan2 sepejuangan.