Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Noraini Ahmad berkata, Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang menjadi tunjang manifesto BN akan mengurangkan beban keluarga dan memastkan setiap kanak-kanak diberi pendidikan asas.

Katanya, BN menyedari hakikat bahawa pelaburan pendidikan dan ia sentiasa menjadi agenda utama parti itu sejak lama dahulu menerusi sistem persekolahan percuma.

“Di dalam Fokus 5 PADU, pendidikan awal dan asuhan nasional percuma akan diberikan untuk semua kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah.

“Selaku Pengerusi Wanita Barisan Nasional dan juga Menteri Pengajian Tinggi, saya melihat inisiatif PADU ini sangat baik bersesuai demi kepentingan pendidikan anak bangsa dan agenda pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noraini, PADU merupakan rangkuman terbaik dalam melengkapi agenda pendidikan negara dalam tempoh yang mencabar ini.

Katanya, menerusi PADU kerajaan BN dapat memastikan tiada lagi kanak-kanak yang tercicir dan semua diberikan makanan berkhasiat sehingga umur 6 tahun.

Fokus tersebut, katanya, tidak terhad untuk golongan B40 atau sesetengah kaum sahaja tetapi ia adalah untuk kebaikan semua kanak-kanak.

Selain itu, katanya, usaha BN juga dapat meringankan beban ibu bapa yang baru membina keluarga, yang mana hasil penjimatan daripada saraan kanak-kanak itu nanti, dapat disalurkan oleh ibu bapa untuk peningkatan kualiti hidup mereka.

“Dengan adanya Fokus 5 PADU ini, semua kanak-kanak di negara ini dapat belajar sampai ke tingkatan 5 secara percuma dan ia dapat meningkatkan kualiti hidup dalam jangka masa yang panjang,” katanya. – MalaysiaGazette