Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bilut, Wong Siew Mun.

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bilut, Wong Siew Mun sedia menyahut cabaran penduduk Bilut yang mahukan kawasan itu dibangunkan.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bilut itu berkata, ia bermula dengan cabaran yang dilemparkan seorang lelaki kepadanya yang mahukan beliau membaik pulih tebing di sebatang sebelum ini.

“Ketika itu, saya berjalan dan tinjau keadaan di Kampung Sungai Penjuring, saya ternampak tebing sungai itu memang rosak teruk dan berlaku hakisan tanah disebabkan banjir yang teruk.

“Kemudian saya terserempak dengan penduduk yang sebelum ini adalah penyokong PH. Ada seorang uncle jumpa saya dan cabar saya, kalau you dapat memperjuangkan atau baik pulih tebing sungai kami ini, saya pasti akan beri sokongan pada you untuk PRU.

“Uncle itu nampak dan percaya yang saya mampu bantu mereka berbanding penyandang (kerusi DUN) Bilut,” katanya pada MalaysiaGazette.

Menurut Siew Mun, tebing itu telah pun dibaik pulih pada akhir tahun lalu setelah dilanda banjir.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bilut, Wong Siew Mun bersama penduduk Kampung Sungai Penjuring, Bentong, Pahang.

Tambah beliau, ia merupakan satu pencapaian kepadanya dan sebagai anak jati Bentong ia merupakan antara perkara yang ingin dilakukan untuk penduduk setempat.

Siew Mun berkata, bagi wakil rakyat yang tidak turun padang, sudah pasti prestasi mereka akan dinilai pengundi dan ia akan diterjemahkan di atas kertas undi pada 19 November ini.

Jelasnya, walaupun beliau merupakan calon muda namun ia adalah yang terbaik BN boleh tawarkan untuk Bilut.

Apa yang pasti, katanya, beliau ingin membangunkan serta memakmurkan kawasan itu, bermula dengan tertunainya cabaran yang dilontarkan lelaki tersebut. – MalaysiaGazette