Anggota tentera mencelup jari ke dalam dakwat kekal untuk membuang undi pada hari mengundi awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Rejimen Ke-34 Artileri Diraja, Kem Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2022.

BERA – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Rejimen Ke-34 Artileri Diraja, Kem Bera di sini hari ini melibatkan seramai 3,521 pegawai dan anggota tentera serta pasangan masing-masing.

Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 21,164 orang pegawai, anggota polis dan tentera serta pasangan yang keluar mengundi awal di seluruh negeri Pahang hari ini.

Anggota tentera bergambar sambil menunjukkan jari yang berdakwat sejurus selesai membuang undi pada hari mengundi awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Rejimen Ke-34 Artileri Diraja, Kem Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2022.

Pintu dewan mengundi membabitkan enam saluran di sini dibuka tepat pukul 8 pagi tadi dan dijangka selesai pada pukul 6 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 578 pusat pengundian awal dibuka di seluruh negara.

Ia melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera, dengan keseluruhan 970 saluran.-MalaysiaGazette