Menteri Besar Pahang yang juga calon Barisan Nasional N.02 Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berucap pada Program Bersama Masyarakat Kampung Durian Tawar sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2022.

BERA – Parlimen Bera mesti menang bergaya oleh Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana ia kawasan Perdana Menteri.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail optimis dengan kemenangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga calon BN Parlimen Bera.

“Tiada sebab pengundi tidak beri sokongan padu kepada Datuk Seri Ismail kerana sepanjang beliau menjawat jawatan PM dalam masa yang singkat banyak pembangunan dan keperluan dibuat di Bera tanpa abaikan juga kawasan-kawasan lain.

“Saya yakin kawasan ini (Bera) istimewa kerana ia kawasan beliau (Ismail Sabri),” katanya ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Durian Tawar di sini hari ini.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang mahu sokongan padu diberikan kepada Ismail Sabri bagi beliau meneruskan kecemerlangan sebagai perdana menteri bagi penggal baharu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Wan Rosdy mendedahkan Ismail Sabri banyak membantu memudahkan proses pembangunan negeri termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan pembinaan tebatan banjir.

Selain mengekalkan kemenangan Parlimen Bera, beliau juga mahu jentera BN melakukan perkara yang sama kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai dan DUN Kemayan.

Bagi DUN Triang – yang tradisi dimenangi DAP dari Pakatan Harapan, beliau mahu sekurang-kurangnya majoriti undi dapat ditambah.- MalaysiaGazette