Calon Barisan Nasional (BN) P.142 Labis, Chua Tee Yong beramah mesra dengan penduduk yang hadir menyaksikan perlawanan persahabatan bola keranjang sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Bola Keranjang, Taman Sejati, Labis, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 14 NOVEMBER 2022.

LABIS – Lebih 40 peratus pemilih dalam golongan pertengahan di kawasan Parlimen Labis didapati masih belum membuat keputusan untuk memilih calon wakil rakyat mereka.

Kebimbangan itu dilahirkan calon Barisan Nasional (BN), Chua Tee Yong yang melihat peratusan tersebut jumlah amat tinggi dan sesuatu perlu dilakukan bagi mengubah sikap pengundi.

Katanya, angka itu diperoleh berdasarkan kajian yang dilakukan di lapangan sepanjang kempen yang dijalankan ketika ini.

“Saya lihat kempen PRU ini ada kelainannya. Pada 2018 dari segi politik suhunya memang tinggilah, banyak di kedai kopi akan mengatakan mengenai politik, berbincang mengenai politik kenapa perlu sokong sesuatu parti atau parti yang mereka puas hati atau tak puas hati.

“Tetapi, kali ini suhunya memang amat dingin, tambah lagi bila ceramah-ceramah yang dibuat tidak mempunyai kehadiran yang tinggi.

“Ini mungkin terdapat political thinking di mana pengundi mungkin sudah tidak berminat atau telah membuat keputusan untuk mengundi sesebuah parti yang mereka ingini,” katanya,

Beliau menyatakan demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada program perlawanan persahabatan bola keranjang, di sini, malam tadi.

Tee Yong berkata, buat pertama kalinya dalam sejarah politik tanah air banyak parti termasuk calon bebas bertanding pada Pilihan raya Umum (PRU) kali ini hingga menyaksikan pertandingan banyak penjuru.

Bagaimanapun katanya, di Labis kebanyakan pengundi yang ditemui memberitahu, mereka akan membuat keputusan dengan menilai prestasi wakil-wakil rakyat pada masa sekarang dan lalu.

Malah katanya, ada juga yang mengambil kira mengenai janji wakil rakyat sebelum ini sama ada telah ditunaikan atau sebaliknya.

Tambah beliau, tidak kurang pula apabila ada pihak cuba mengalihkan perkara tersebut dengan mencetuskan isu mengenai calon perdana menteri.

“Saya nak tegaskan bahawa setiap calon BN dah dibertahu bahawa calon PM adalah satu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaaakob.

“Oleh itu, jangan terpedaya kerana dalam Perlembagaan Persekutuan tidak ada yang mengatakan presiden yang perlu menjadi perdana menteri. Bahkan baru saya dapat keputusan daripada peguam saya untuk menaikkan billboard gambar saya bersama dengan calon perdana menteri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri.

“Sebelum itu kita tidak diberi kebenaran, tapi saya diberitahu masih dalam perbincangan kerana dalam akta Suruhanjaya Pilihan raya tertulis sama ada calon perdana menteri itu boleh dinaikkan bersama dengan gambar calon bertanding,” ujarnya.

Tee Yong merupakan pencabar bagi penyandang kerusi Parlimen tersebut yang dicalonkan semula, Pang Hok Liong dari Pakatan Harapan (PH) dan Alvin Chang Teck Kiam dari Perikatan Nasional (PN).

Parlimen Labis mempunyai 49,846 pengundi berdaftar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast