BALIK PULAU – Calon bebas lambang Traktor bagi Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee menyifatkan kawasan ditandinginya berpotensi menjadi hab agro pelancongan jika dimajukan.
Jelasnya, ia susulan Balik Pulau ‘tenggelam’ di mata pelancong dalam dan luar negara selain pada musim durian.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, pelbagai daya tarikan daripada segi pertanian serta pelancongan di kawasan itu dibangunkan sekali gus merugikan ekonomi penduduk dan negara.
“Sekiranya diberi peluang untuk menjadi ahli Parlimen di kawasan ini, saya akan memperkenalkan agro pelancongan di Balik Pulau selain menjadi perantara membawa masuk pelaburan ke sini.
“Saya mempunyai ramai kenalan yang terdiri daripada pelabur dari negara luar antaranya China dan Indonesia. Jadi sekiranya produk tempatan dihasilkan tidak menjadi masalah untuk ia dieksport ke negara luar.
“Kawasan ini bukan saja boleh dimajukan dari segi pertanian malah, ia berpotensi dari sudut perikanan. Saya bercadang membawa konsep penternakan udang istimewa berteknologi tinggi dan kita percaya dengan adanya semua ini, anak muda tidak perlu merantau untuk mencari pendapatan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambah Johnny Ch’ng, beliau tidak mahu Balik Pulau dijadikan lokasi pelancongan hanya pada musim durian.
“Kita nak orang sentiasa datang ke sini dan ia secara tak langsung menjana ekonomi penduduk di sini tidak kira kaum serta usia.
“Orang bangga dengan pelancongan di Hong Kong dan Singapura namun mereka lupa Balik Pulau ada keunikan tersendiri jika dibangunkan tanpa merosakkan eko sistem, alam sekitar.
“Jika semua ini terlaksana penduduk tidak perlu risau dengan situasi kos sara hidup yang kian tinggi kerana setiap orang di sini mampu menjadi pendapatan sendiri dengan cara komersialkan hasil anak tempatan,” jelasnya.
Parlimen Balik Pulau menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (Perikatan Nasional), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pakatan Harapan) dan Fadzli Mohamad (Pejuang), Johnny Ch’ng (Bebas) selain Datuk Seri Sabaruddin Ahmad (Bebas). – MalaysiaGazette
Video Berkaitan