perkhemahan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan laporan berita yang mendakwa Pas bersetuju untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau menegaskan kenyataannya itu dilaporkan di luar konteks dan dalam masa yang sama tajuk yang digunakan mengelirukan pengundi.

Sebaliknya Setiausaha Agung Pas itu yakin mampu menubuhkan kerajaan tanpa penggabungan parti lain.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada Perikatan Nasional. Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih.

“Dengan kenyataan yang jelas ini maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU-15,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam Takiyuddin dipetik sebagai berkata, beliau yakin PN dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN.

“Pendirian PAS adalah jelas, …akan bergabung dengan BN sahaja bukannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti komponennya.

“Bagi kita atau mana-mana gabungan parti apabila mendapat majoriti mudah minimum sebanyak 112 kerusi, parti itu sendiri akan menubuhkan kerajaan.

“Kalau parti ini tidak mendapat majoriti mudah, parti akan bergabung dengan mana-mana pihak. Pendirian PAS jelas.

Ketika hadir hadir program Ceramah Perdana PRU15 di Kampung Kubang Kiat malam tadi, beliau turut menjangkakan BN akan menerima penggabungan tersebut.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Twitter.

Katanya, beliau tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung Pas itu berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast